Saturday, September 11, 2010

MEMBARIS SAWIT DI KAWASAN TANAH RATA DAN BERALUN

DEFINISI


Membaris sawit ialah satu aktiviti untuk menentukan dan menanda jarak tapak penanaman di ladang berdasarkan jarak tanaman yang telah ditetapkan.

OBJEKTIF


Menetapkan kedudukan tapak penanaman berdasarkan jarak tanaman yang telah ditentukan.

PIAWAIAN


i. Titik tanaman berbentuk tiga segi sama di keseluruhan kawasan penanaman.

ii. Jajaran bagi setiap barisan pokok adalah lurus bagi ketiga-tiga arah.

iii. Arah utama barisan mesti menghala ke utara ( 360 º ).

iv. Jarak kosong tidak ditanam bagi setiap sempadan mestilah 4.5 – 5.0 meter.


PERALATAN DAN BAHAN


i. Kompas - menentukan arah mata angin.

ii. Pita Pengukur - mengukur jarak tanaman yang ditentukan.

iii. Pancang Ibu - kayu lurus ukuran 2 cm x 1.80 meter tinggi.


iv. Pancang Anak - pancang buluh ukuran 1cm x 1.20 meter tinggi dicat putih hujungnya.

v. Kertas Putih - sebagai tanda di pancang ibu.

vi. Dawai 12G - tanda jarak tanaman sebanyak 5 point titik tanam.

PANDUAN PRODUKTIVITI


Tenaga Kerja                                         Luas Kawasan kerja / hari

1 kumpulan - 5 orang pekerja                      25 - 30 hektar


KAEDAH


Aktiviti membaris sawit dibuat secara dua peringkat:

Membaris pancang ibu


i. Wujudkan satu garisan lurus ke arah utara ( 360º) menggunakan kompas, tarik dawai jarak tanaman ( 9.15 meter ) dan tandakan / pancang dengan pancang buluh (pancang anak). Setiap 5 pancang anak dipasang pancang ibu yang diletak bendera kertas putih di atasnya. Garisan ini dipanggil garisan utama.


ii. Panjang garisan utama perlu mempunyai 5 batang pancang ibu seperti Gambarajah1.11.13 – Membaris Ibu / Barisan Utama

iii. Ujudkan satu garisan 60º di pancang ibu nombor 2 dan 3 dengan menggunakan kompas. Tarik dawai jarak tanaman ( 9.15 meter ) dan tandakan pancang dengan pancang buluh ( pancang anak). Setiap 5 pancang anak dipasang pancang ibu yang diletak bendera kertas putih di atasnya. Garisan ini di panggil garisan ibu 1 dan 2.

iv. Untuk mewujudkan garisan ibu ke 3 dan seterusnya, tidak perlu lagi menggunakan kompas, hanya pandangan mata untuk menentukan lurus dan dawai jarak tanaman untuk menanda pancang anak dan ibu.


v. Kerja memasang ibu diteruskan sehingga semua kawasan dipasang pancang ibu.


vi. Sekiranya jarak antara pancang ibu tidak lurus dan tepat, ini menandakan kerja memasang pancang ibu tidak dijalankan dengan tepat dan betul. Kerja pengulangan perlu dibuat dan diperbetulkan, sebelum kerja memasang pancang anak dijalankan.


Membaris/mengisi pancang anak


i. Kerja membaris/ mengisi pancang anak hanya boleh dibuat selepas kerja memasang pancang ibu telah disiapkan dengan sempurna di semua kawasan.

ii. Memasang pancang anak menggunakan dawai jarak tanaman.

iii. Lima orang pekerja diperlukan untuk menjalankan kerja ini.

iv. 2 orang pekerja akan memegang hujung dan pangkal dawai jarak tanaman dan 3 orang pekerja lagi akan memancang disetiap tanda pancang tanaman.

v. 3 orang pekerja yang berada di tengah akan membawa anak pancang dan memancang anak pancang dengan tegak dan lurus.

vi. 2 orang pekerja yang berada di hujung dawai perlu memastikan dawai ditarik dengan lurus dan tegang.

vii. Pergerakan 2 orang pekerja ini mestilah sama. Semasa bergerak, kedudukan ibu pancang dengan ibu pancang yang lain mestilah sama dan selari, begitu juga dengan pancang 1, 2 dan 3 mestilah sama.

viii. Kerja ini bergerak dari satu lorong ke lorong sehingga semua kawasan di pancang dengan anak pancang.

KAWALAN


i. Dawai jarak tanaman yang digunakan untuk membaris perlu mempunyai ukuran jarak yang tepat.

ii. Dawai jarak tanaman perlu sentiasa ditarik tegang dan lurus semasa membaris ibu dan anak.

iii. Semua pancang ibu dan anak mesti dipacak dengan tegak dan lurus.

iv. Tapak penanaman yang ditandakan hendaklah lurus di dalam barisan tanaman.


KESESUAIAN PELAKSANAAN


Aktiviti membaris perlu dilakukan selepas kawasan bersih daripada rumpai dan perlu disiapkan sebelum aktiviti menanam.

ALAM SEKITAR


Pancang kayu yang rosak tidak boleh dibakar atau dibuang berdekatan dengan sumber air.

KESELAMATAN


Menggunakan langkah-langkah keselamatan sebagaimana yang ditentukan di dalam JKKAS. Pakaian kerja adalah bersesuaian dengan aktiviti membaris.


PETUNJUK KEJAYAAN


i. Pancang dipacak dengan tegak dan lurus.

ii. Jajaran tapak penanaman berkeadaan lurus.

iii. Jarak tanaman berbentuk tiga segi sama dan menepati jarak yang ditentukan.

RUJUKAN


i. Perusahaan Sawit Di Malaysia – (MPOB).

ii. Manual Penanaman Dan Penyelenggaraan Sawit – (MPOB).

iii. Pekeliling Tanaman Sawit (FASSB).

No comments: