Monday, March 1, 2010

PENENTUAN KERJA MERUMPUT DI KAWASAN KELAPA SAWIT

1. Kerja merumput hendaklah dimulakan setelah sesuatu kawasan siap dengan sepenuhnya kerja-kerja meracun/membasmi rumpai dan satu Sijil Ambi Alih Kawasan Merumput akan dikeluarkan oleh Pegawai Penguasa.

2. Merumput dalam penentuan kerja ini adalah “Merumput Penutup Bumi Asli”. Jangkamasa kontrak ini (selepas ini disebut “Jangkamasa Merumput”), ialah 8 pusingan (45 hari/pusingan). Sambung masa selepas Jangkamasa Merumput ini boleh dipertimbangkan bergantung kepada persetujuan bersama antara kontraktor dan ESTET tertakluk kepada persetujuan ESTET. Sekiranya sesuatu kawasan diambilalih untuk kerja-kerja mencuci merumput berperingkat-peringkat mengikut zon, ini bermakna zon yang terawal diambilalih akan dikira sebagai 8 pusingan. Sementara zon-zon yang diambilalih terkemudian, pusingannya akan ditamatkan serta merta apabila zon terawal diambilalih mencukupi 8 pusingan kerja.

3. Kerja Merumput 3 pusingan pertama (45 hari/pusingan), keseluruhan kawasan 6 kaki lebar di tengah-tengah sepanjang antara dua barisan susunan baki kayu getah yang telah diperun hendaklah dijaga sebersih-bersihnya dari semua jenis tumbuhan supaya pertumbuhan Kekacang Penutup Bumi tidak terhalang. Kawasan selainnya dilakukan secara selektif dengan mengekalkan tumbuhan berbatang lembut sebagai Penutup Bumi Asli. Kerja Merumput 9 pusingan berikutnya keseluruhan kawasan mencuci merumput dijalankan secara merumput Penutup Bumi Campuran.

4. Keseluruhan kawasan Penutup Bumi Asli hendaklah dijaga supaya bersih dari semua jenis tumbuhan perampas seperti lalang, anak-anak kayu terutama hedyotis, senduduk bulu, senduduk, pokok kapal terbang, anak sawit liar, buluh, pisang hutan, anak getah dan lain-lain tumbuhan yang tidak diingini (“selepas ini kesemuanya disebut sebagai tumbuhan perampas) hendaklah dibasmi hingga ke akar umbi, kecuali rumput-rumpai dan tumbuh-tumbuhan berbatang lembut yang akan dibenarkan oleh Pegawai Penguasa.
Takrif istilah “Tumbuhan Perampas” yang disebut dalam Penentuan ini adalah menurut takrif Pegawai Penguasa dan takrifnya ini adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan lagi.

5. (a) Bulatan di sekeliling Tapak Tanaman didalam kawasan Penutup Bumi Asli hendaklah dibersihkan sebersih-bersihnya supaya mempunyai jejari sepanjang 120 cm sekeliling Tapak Tanaman atau sekeliling kanopi pokok jika diarah oleh Pegawai Penguasa.
(b) Di kawasan-kawasan rendah, ruang-ruang bersempadan hutan dan di kawasan Penutup Bumi Asli, kontraktor dengan persetujuan Pegawai Penguasa bolehlah menjalankan kerja secara menyembur racun dan kimia yang perlu diluluskan oleh Pegawai Penguasa, menurut peraturan kerja seperti tersebut di bawah ini:
i. Menyembur bersih kawasan hingga selebar 240 cm sepanjang sempada kawasan rendah/jurang-jurang dengan kawasan tinggi yang berhampiran.
ii. Menyembur bersih kawasan hingga selebar 150 cm disepanjang sempadan hutan.
iii. Menyembur bersih kawasan selebar 90 cm di kedua-dua belah tebing parit atau di dalam kawasan rendah/peringkat berkenaan.
(c ) Kontraktor hendaklah berhati-hati semasa kerja menyembur racun dijalankan supaya tidak ada anak kelapa sawit yang mati terkena atau rosak terkena semburan racun dan kontraktor hendaklah mengimbuh ESTET pada kadar RM 10.00 sepokok (bagi pokok berumur kurang satu tahun). ESTET berhak memotong imbuhan ini daripada sebarang bayaran kepada kontraktor di bawah kontrak ini.

6. Kontraktor hendaklah mempunyai buruh yang cukup pada tiap-tiap hari kerja supaya Kerja Merumput 45 hari/pusingan bagi seluruh kawasan kerja-kerja dapat disiapkan dalam jangka masa 25 hari. Jika pegawai Penguasa meluluskan, sesuatu pusingan itu boleh disiapkan lebih lama daripada 45 hari tetapi kontraktor tidak berhak mendapat sebarang bayaran tambahan bagi penundaan Tarikh Siap Kerja.

7. Kerja-kerja Merumput hendaklah dijalankan mengikut blok-blok yang tersusun. Pegawai Penguasa hendaklah membuat pemeriksaan pada setiap blok seminggu selepas kerja-kerja meracun bagi memastikan keberkesanan mutu Kerja Merumput. Sekiranya Pegawai Penguasa tidak berpuas hati, kerja meracun ulangan hendaklah dijalankan oleh kontraktor sehingga bersih.

8. Bagi keberkesanan kerja-kerja merumput penggunaan racun rumpai yang bersesuaian dengan tumbuhan rumpai adalah amat diperlukan. Racun yang bersesuaian dengan tumbuhan rumpai adalah seperti berikut:-
a) Circle Weeding - Glyphosate + Ally/Metsulfuron Methyl
b) Anak-anak Kayu - Ally/Metsulfuron Methyl
c) Lalang - Glyphosate sahaja
d) Anak Sawit Liar - Paraquat sahaja

9. Kontraktor dengan perbelanjaan sendiri hendaklah membeli, mengangkut dan menyimpan segala kimia-kimia yang diperlukan ke stor ESTET menurut arahan Pegawai Penguasa supaya kerja-kerja dapat dijalankan dengan licin. Kontraktor juga dikehendaki mendapatkan lesen menyembur racunnya dan hendaklah mematuhi Ordinan racun Makluk Perosak 1974 dan segala Pindaan-Pindaan yang berkaitan dengan Ordinan ini dari semasa kesemasa.

10. (a) Setelah siapnya tiap-tiap pusingan Kerja Merumput bagi tiap-tiap blok atau keseluruhan kawasan dan kontraktor telah menunaikan segala syarat-syarat yang dipatuhi menurut Penentuan ini, maka kontraktor akan dibayar 100% harga kadar bagi Kerja Merumput dan 5% daripadanya akan disimpan oleh ESTET sebagai Wang Tahanan. Wang Tahanan ini akan dikecualikan dan tidak akan dipotong lagi apabila jumlahnya jika dicampur dengan Wang Amanah, melebihi jumlah atau bersamaan dengan nilai harga sepusingan bagi Kerja Merumput bagi keseluruhan kawasan dengan syarat:-
i. Keseluruhan kawasan telahpun diukur dan luas kawasannya disahkan oleh Jurukur ESTET dan luas kawasan tiap-tiap blok (jika perlu) telah diselaraskan dan dipersetujui oleh Kontraktor.
ii. Pegawai Penguasa yakin bahawa kontraktor dapat mengekalkan mutu pekerjaannya menurut Penentuan dan
iii. Pegawai Penguasa yakin bahawa kontraktor didapati tidak berhutang kepada pekerja-pekerjanya gaji dan lain-lain bayaran mengikut Undang-Undang Buruh dan Undang-Undang Pampasan Kerja ataupun sebarang Undang-Undang yang berkaitan.
(b) Apabila potongan 5% Wang Tahanan ini dikenakan, maka segala Sijil Bayaran yang akan dikeluarkan tidak lagi dikenakan potongan 5% sebagai Wang Tahanan. Tiada sebarang atau apa-apa pun di dalam Dokumen ini yang boleh menghalang ESTET memotong semula Wang Tahanan 5% iaitu pada bila-bila masa menurut budibicara ESTET.
(c ) Pegawai Penguasa akan membuat penilaian diatas mutu kerja kontraktor dengan kadar seperti berikut:-

Peratus Bayaran Perkara
30 Kebersihan bulatan/teres/lorong tanaman.
40 Kebersihan kawasan dada, anak sungai (kurang daripada 10.5 meter) dan
sempadan kawasan daripada tumbuhan bahaya.
30 Kawalan lalang/anak sawit.

Pembayaran tidak akan dibuat sekiranya nilai perlaksanaan kerja keseluruhan kurang daripada 60%. Kawalan lalang dan anak sawit liar hendaklah dibuat 100%
(d) Sekiranya berlaku kelewatan penanaman anak-anak sawit di ladang di atas sebab faktor-faktor tertentu atau di atas arahan Pegawai Penguasa, bayaran merumput selepas pengambilan alih kawasan Penutup Bumi Asli akan dibuat seperti berikut:-
i) Kawasan yang telah dibaris dan merumput bulatan dijalankan, bayaran akan dibuat 100%
ii) Bagi kawasan yang tidak dibaris dan merumput bulatan tidak dijalankan, bayaran akan dibuat 80% dari kadar harga mencuci merumput. Kadar bayaran ini akan dibuat berterusan sehingga membaris atau penanaman anak-anak sawit di ladang dijalankan.

11. (a) Jika kontraktor dalam sesuatu pusingan (selepas ini disebut sebagai “Pusingan Pertama”) gagal menjaga kawasan merumput menurut Penentuan Kerja mengakibatkan pengesahan nilai kerja kurang dari 100% berasaskan kepada penilaian oleh Pegawai Penguasa (Penilaian ini adalah muktamad), maka dalam hal-hal demikian perbezaan peratus yang tidak disahkan bagi Pusingan Pertama itu boleh dibayar kepada kontraktor dalam pusingan berikutnya (selepas ini disebut sebagai “Pusingan Kedua”) dengan syarat pengesahan nilai kerja Pusingan Kedua itu disahkan 100%.
(b) Sekiranya pengesahan nilai kerja bagi Pusingan Kedua juga disahkan kurang dari 100%, maka dalam hal-hal demikian perbezaan peratus yang tidak disahkan bagi Pusingan Pertama akan menjadi hangus dan lesap dan nilai bayaran yang telah dibayar bagi Pusingan Pertama itu adalah dianggap bayaran muktamat dan kontraktor tidak berhak lagi menuntut apa-apa bagi pusingan tersebut.

(c ) Dalam hal yang demikian edaran peratus ini selanjutnya adalah berpandukan garis panduan pada para (a) dan (b) .
(d) Dalam masa pusingan terakhir bagi pusingan kerja merumput ini tidak dibayar 100% , maka dalam hal-hal demikian perbezaan peratus yang tidak disahkan tidak dibayar dalam pusingan kerja merumput berikutnya dan akan menjadi hangus dan lesap dan nilai yang dibayar pada pusingan terakhir adalah dianggap bayaran muktamad dan kontraktor tidak berhak lagi menuntut apa-apa bayaran bagi pusingan tersebut.

12. Apabila semua kerja di bawah Penentuan ini telah siap pada Jangkamasa Merumput ataupun pada masa lanjutan atau bila-bila masa dipersetujui antara ESTET dan kontraktor seperti yang diterangkan di bawah perkara (2) dan Sijil Ambilalih dikecualikan oleh Pegawai Penguasa, jumlah Wang Tahanan dan Wang Amanah (atau apa-apa baki daripadanya) bagi kerja ini akan dibayar kepada kontraktor dalam masa berikut:-
a) Bagi Kawasan Yang Ada Sijil Ukur Dikeluarkan Oleh Jurukur ESTET
Tiga bulan daripada Tarikh Siap Kerja pusingan terakhir ataupun tiga bulan daripada tarikh penerimaan surat kontraktor oleh ESTET (mana satu tarikh yang terkemudian) menyetujui angka-angka keluasan dan angka-angka penyelarasan berkenaan kerja ini.
b) Bagi Kawasan Yang Tiada Sijil Ukur
Tiga bulan daripada tarikh pengeluaran Sijil Ukur oleh Jurukur ESTET ataupun tiga bulan daripada tarikh penerimaan surat kontraktor oleh ESTET (mana satu tarikh yang terkemudian) menyetujui angka-angka keluasan dan angka-angka penyelarasan berkenaan kerja ini.
13. Penyelarasan luas kawasan tiap-tiap blok yang dikerjakan oleh kontraktor di bawah penentuan ini akan diselaraskan dengan angka-angka yang disahkan oleh Jurukur.

14. Sebelum Sijil Bayaran Akhir disediakan oleh Pegawai Penguasa, kontraktor adalah dikehendaki mengambil dan menyerahkan kepadanya Sijil yang ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Buruh atau Pesuruhjaya Sumpah yang berhampiran dengan tempat kerja yang mengesahkan bahawa semua gaji-gaji, wang-wang pampasan, caruman Kumpulan Wang Simpanan bagi pekerja-pekerja dibawah kontrak ini sudahpun dibereskan dan kontraktor tidak ada lagi terhutang dalam hal-hal ini mengikut Undang-undang Buruh, Undang-undang Pampasan Pekerja ataupun sebarang Undang-undang yang berkaitan.

No comments: