Tuesday, June 2, 2009

AKTA RACUN MAKHLUK PEROSAK 1974 (BAHAGIAN 1)


GARIS PANDUAN
KAEDAH-KAEDAH RACUN MAKHLUK PEROSAK
(PENGENDALI KAWALAN MAKHLUK PEROSAK) 2004


1. PENDAHULUAN

Berkuat kuasa pada 19 Febuari 2004, semua pengendali kawalan makhluk perosak hendaklah mempunyai lesen untuk menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak ke atas harta orang lain seperti di rumah atau tempat awam bagi upah.

1.1 Garis panduan ini bertujuan untuk memberi maklumat-maklumat tentang keperluan-keperluan dan syarat-syarat kawalan makhluk perosak.
2. TAKRIF

2.1 “Racun Makhluk Perosak” tertakluk kepada seksyen-seksyen (2) Akta Racun Makhluk Perosak (Pindaan) 2004 ditakrifkan sebagaimana berikut: -

(a) apa-apa bahan yang mengandungi suatu perawis aktif; atau
(b) apa-apa persediaan, campuran atau benda yang mengandungi mana-mana satu perawis aktif itu atau lebih sebagai satu daripada juzuknya, tetapi tidak termasuk makanan tercemar atau apa-apa barang yang disenaraikan dalam Jadual Kedua.

2.2 “di bawah penyeliaan” berhubung dengan pengendalian kawalan makhluk perosak yang dijalankan oleh seseorang pembantu pemakai racun makhluk perosak berlesen, ertinya bertindak di bawah arahan dan kawalan seorang pemakai racun makhluk perosak berlesen yang ada jika dan apabila diperlukan, walaupun pemakai racun makhluk perosak berlesen itu tidak ada secara fizikal pada masa dan di tempat pengendalian kawalan makhluk perosak itu dijalankan;

2.3 “harta” ertinya semua kawasan daratan dan perairan, termasuk ruang udara atas kawasan sedemikian, dan semua tumbuhan, haiwan, struktur, bangunan, peralatan dan mesin, sama ada yang tetap atau yang bergerak, yang berkaitan dengan atau terletak atas kawasan sedemikian;
2.4 “kawalan anai-anai dan organisma pemusnah kayu yang lain” ertinya kawalan anai-anai atau organisma pemusnah kayu yang lain dengan menggunakan racun makhluk perosak;

2.5 “kawalan makhluk perosak rumah secara am” ertinya kawalan makhluk perosak di rumah dengan menggunakan racun makhluk perosak, tetapi tidak termasuk pemewasapan yang dikawal di bawah Akta Hidrogen Sianid (Pengasapan) 1953 [Akta 260] dan kawalan anai-anai dan organisma pemusnah kayu yang lain;

2.6 “Kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam” ertinya kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam di tempat awam dengan menggunakan racun makhluk perosak, tetapi tidak termasuk pemewasapan yang dikawal di bawah Akta Hidrogen Sianid (Pengasapan) 1953;

2.18 “tugas kawalan makhluk perosak yang utama” ertinya kawalan anai-anai dan organisma pemusnah kayu yang lain, kawalan makhluk perosak rumah secara am di premis komersial atau kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam yang dijalankan oleh seseorang pemakai racun makhluk perosak berlesen, atau seseorang pembantu pemakai racun makhluk perosak berlesen di bawah penyeliaan sendiri seorang pemakai racun makhluk perosak berlesen.

3. Kawalan Makhluk Perosak

Seseorang yang menjalankan -:

(a) Kawalan makhluk perosak rumah secara am;
(b) Kawalan anai-anai dan organisma pemusnah kayu yang lain;
(c) Kawalan rumpai awam secara am; atau
(d) Kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam.

di atas harta orang lain bagi upah hendaklah mempunyai sesuatu lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga, dengan menggunakan hanya racun makhluk perosak yang didaftarkan oleh Lembaga.
4. Kategori Lesen

Kategori lesen yang dikeluarkan di bawah kaedah-kaedah ini adalah:
Lesen pengendali kawalan makhluk perosak;
Lesen pemakai racun makhluk perosak; atau
Lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak.
5. Peperiksaan

Lembaga akan menjalankan peperiksaan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mereka yang berniat untuk melayakkan diri sebagai pemakai racun makhluk perosak atau pembantu pemakai racun makhluk perosak. Kelulusan dalam peperiksaan ini adalah prasyarat bagi permohonan untuk lesen pemakai racun makhluk perosak dan lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak. Tujuan utama keperluan ini adalah mempastikan bahawa pengendalian kawalan racun makhluk perosak yang dijalankan bukan sahaja berkesan, tetapi lebih penting daripada itu, tidak memudaratkan penghuni-penghuni premis yang mana racun makhluk perosak dipakai dan juga kontaminan dalam alam sekitar.

5.1 Peperiksaan Pemakai Racun Makhluk Perosak

Untuk memohon menduduki peperiksaan pemakai racun makhluk perosak, pemohon hendaklah:

(a) mempunyai sekurang-kurangnya tamat mengikuti Tingkatan Lima atau yang setaraf dengannya; atau

(b) mempunyai sekurang-kurangnya tiga (3) tahun pengalaman bekerja sebagai pembantu pemakai racun makhluk perosak berlesen dalam sesuatu syarikat atau perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak; dan

(c) mengemukakan kepada Lembaga permohonan dalam Borang A1 dan disertakan dengan fi peperiksaan sebanyak RM150.00.

5.2 Pepeiksaan Pembantu Pemakai Racun Makhluk Perosak
Untuk memohon menduduki peperiksaan pembantu pemakai racun makhluk perosak, pemohon hendaklah –
(a) mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan dalam Tahun Enam; atau
(b) mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) tahun pengalaman bekerja sebagai seorang pekerja yang terlibat dalam pemakaian racun makhluk perosak dalam suatu syarikat atau perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak; dan
(c) mengemukakan kepada Lembaga permohonan dalam Borang A2 dan disertakan dengan fi peperiksaan sebanyak RM100.00.

6. Lesen Pengendali Kawalan Perosak

1) Seseorang yang mempunyai, mengendalikan atau menguruskan suatu syarikat atau perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak yang terlibat dalam menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak ke atas harta orang lain bagi upah, hendaklah memiliki suatu lesen pengendali kawalan makhluk perosak yang dikeluarkan oleh Lembaga.

2) Permohonan untuk lesen pengendali kawalan racun perosak hendaklah dibuat secara bertulis kepada Lembaga dalam Borang B dan disertakan denga fi permohonan sebanyak RM400.00.
3) Lesen pengendali kawalan makhluk perosak adalah sebagaimana dalam Borang C seperti dalam Jadual.
4) Jika Lembaga enggan mengeluarkan suatu lesen pengendali kawalan makhluk perosak kepada pemohon, Lembaga hendaklah memberitahu pemohon secara bertulis mengenai sebab-sebab bagi keengganan itu.
(5) Lesen pengendali kawalan makhluk perosaki tidak boleh dipindahkan miliknya dan dikeluarkan tertakluk kepada syarat-syarat yang berikut:

(i) Melainkan jika dibatalkan atau digantung telebih dahulu, lesen ini adalah sah selama tempoh dua tahun dari tarikh lesen dikeluarkan.
(ii) Lesen ini hendaklah dipamerkan pada sepanjang masa di premis yang dinyatakan dalam lesen ini.
(iii) Tiada seorang pun boleh menjalankan suatu syarikat/perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak selain di premis yang dinyatakan dalam lesen ini.
(iv) Lembaga tidak akan mengeluarkan lesen pengendali kawalan makhluk perosak sehingga pemohon, atau seorang pemakai racun makhluk perosak yang bekerja di bawahnya, yang menjalankan atau menyelia penjalanan pengendalian kawalan makhluk perosak di atas harta orang lain bagi upah, ialah pemakai racun makhluk perosak berlesen.
(v) Pemegang lesen hendaklah memohon kepada Lembaga berkenaan dengan apa-apa pertukaran dalam alamat bagi syarikat/perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak itu sekurangkurangnya
10 hari sebelum pertukaran itu, disertakan dengan satu salinan Lesen untuk Menjual dan Menyimpan untuk Penjualan Racun Makhluk Perosak yang dikeluarkan oleh Pegawai Pelesenan Racun Makhluk Perosak dan, dalam hal perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak, lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan bagi premis yang baru.
(vi) Pemegang lesen hendaklah memaklumkan kepada Lembaga berkenaan dengan apa-apa perubahan mengenai pemakai racun makhluk perosak berlesen yang bekerja di bawahnya dalam tempoh 10 hari daripada perubahan itu.
(vii) Lembaga boleh, sebagai tambahan kepada syarat-syarat di atas, mengenakan apa-apa syarat yang lain yang difikirkannya perlu.

7. Lesen Pemakai Racun Makhluk Perosak

(1) Seseorang yang menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak, atau menyelia, sama ada dengan sendirinya, penjalanan pengendalian kawalan makhluk perosak oleh seorang pembantu pemakai racun makhluk perosak berlesen, hendaklah mempunyai suatu lesen pemakai racun makhluk perosak yang dikeluarkan oleh Lembaga.
(2) Sesuatu permohonan untuk suatu lesen pemakai racun makhluk perosak hendaklah dibuat secara bertulis kepada Lembaga dalam Borang D, dan disertakan dengan fi permohonan sebanyak RM150.00.
(3) Lesen pemakai racun makhluk perosak hendaklah sebagaimana dalam Borang E .
(4) Jika Lembaga enggan mengeluarkan suatu lesen pemakai racun makhluk perosak kepada pemohon, Lembaga hendaklah memberitahu pemohon secara bertulis mengenai seba-sebab bagi keengganan itu.
(5) Syarat-Syarat Lesen Pemakai Racun Makhluk Perosak:
i. Lesen ini diberikan kepada pemegang lesen untuk menjalankan kawalan makhluk perosak rumah secara am, kawalan anai-anai dan oraganisma perosak kayu yang lain, kawalan rumpai awam secara am dan kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam.
ii. Melainkan jika dibatalkan atau digantung terlebih dahulu, lesen ini adalah sah selama tempoh dua tahun dari tarikh lesen dikeluarkan
iii. Lesen ini tidak boleh dipindahkan miliknya.
iv. Lesen ini hendaklah dipakai oleh pemegang lesen apabila dia menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak.
v. Jika lesen ini hilang, pemegang lesen hendaklah melaporkan perkara itu kepada Lembaga dan memohon untuk penggantiannya.
vi. Lembaga boleh menghendaki pemegang lesen yagn memohon untuk pembaharuan lesen menghadiri kursus yang diaturkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa pemegang lesen itu terus memenuhi kehendak teknologi yang berubah dan mempunyai
tahap kekompetenan dan kebolehan yang berterusan dalam penggunaan racun makhluk perosak secara selamat dan betul.
vii. Lembaga boleh, sebagai tambahan kepada syarat-syarat di atas, mengenakan apa-apa syarat yang lain yang difikirkannya perlu.

8. Lesen Pembantu Pemakai Racun Makhluk Perosak

(1) Seseorang yang menjalankan –

(a) tugas kawalan makhluk perosak yang utama di bawah penyeliaan sendiri; atau
(b) tugas kawalan makhluk perosak yang kecil di bawah penyeliaan, seorang pemakai racun makhluk perosak berlesen, hendaklah mempunyai suatu lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak yang dikeluarkan oleh Lembaga.

(2) Sesuatu permohonan untuk suatu lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak hendaklah dibuat secara bertulis kepada Lembaga dalam Borang F dan disertakan dengan fi permohonan yang ditetapkan.
(3) Lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak hendaklah seperti dalam Borang G .
(4) Jika Lembaga enggan mengeluarkan suatu lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak kepada pemohon, Lembaga hendaklah memberitahu pemohon secara bertulis mengenai seba-sebab bagi keengganan itu.
(5) Syarat-Syarat Lesen Pembantu Pemakai Racun Makhluk Perosak
i. Lesen ini diberikan kepada pemegang lesen untuk menjalankan kawalan makhluk perosak rumah secara am, kawalan anai-anai dan oraganisma perosak kayu yang lain, kawalan rumpai awam secara am dan kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam.
ii. Melainkan jika dibatalkan atau digantung terlebih dahulu, lesen ini adalah sah selama tempoh dua tahun dari tarikh lesen dikeluarkan.
iii. Lesen ini tidak boleh dipindahkan miliknya.
iv. Lesen ini hendaklah dipakai oleh pemegang lesen apabila dia menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak.
v. Jika lesen ini hilang, pemegang lesen hendaklah melaporkan perkara itu kepada Lembaga dan memohon untuk penggantiannya.
vi. Lembaga boleh menghendaki pemegang lesen yang memohon untuk pembaharuan lesen menghadiri kursus yang diaturkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa pemegang lesen itu terus memenuhi kehendak teknologi yang berubah dan mempunyai
tahap kekompetenan dan kebolehan yang berterusan dalam penggunaan racun makhluk perosak secara selamat dan betul.
vii. Lembaga boleh, sebagai tambahan kepada syarat-syarat di atas, mengenakan apa-apa syarat yang lain yang difikirkannya perlu)
(bersambung..)

1 comment:

one2paii said...

salam,nak tny,dekat mana nak dapatkan borg permohonan untuk mendapatkan lesen semburan makhluk perosak untuk tanaman?
http://one2paii.blogspot.com