Saturday, May 30, 2009

RUMPAI - KEBAIKAN, KEBURUKAN & PENGAWALAN

Noormaizurah Omar


PENGENALAN

Rumpai ialah spesies tumbuhan renik, rendah atau tinggi, baik yang tumbuh menegak, melata mahupun yang menjalar bebas dan muncul di tempat-tempat yang tidak dimaksudkan untuknya. Boleh dikatakan rumpai bukanlah tanaman yang sengaja ditanam tetapi muncul secara sendiri atau dibawa oleh pelbagai vektor (pembawa) tanpa disedari. Takrif rumpai yang jelas telah diberikan oleh Profesor Beal, pakar dalam bidang biologi rumpai di Michigan State College sebagai " a plant out of place ".

Pada amnya, rumpai boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama ialah rumpai perosak, kedua ialah rumpai yang mempunyai kegunaan ekonomi, dan yang ketiga ialah rumpai yang bersifat neutral. Walau bagaimanapun, kualiti sifat-sifat rumpai ini sama ada sebagai perosak, berguna atau bersifat neutral berubah-ubah mengikut keadaan tertentu.

Disini akan dijelaskan serba sedikit kebergunaan atau kebaikan rumpai, masalah atau keburukan yang disebabkan rumpai, dan cara pengawalannya.

KEBERGUNAAN DAN KEBAIKAN RUMPAI

Terdapat beberapa kesukaran dalam memberi takrif kepada rumpai. Kesukaran ini mempunyai kaitan dengan cara penilaian dan pandangan yang dibuat terhadap rumpai. Tumbuhan ini mugkin dianggap tumbuhan yang merosakkan dan mungkin disesetengah kawasan ia merupakan sejenis tumbuhan yang berguna kepada manusia. Ini kerana, walaupun rumpai sering membawa masalah ia tetap memberi beberapa kabaikan kepada manusia.
Kebergunaan rumpai boleh dilihat apabila ia penting bagi mengurangkan hakisan. Ini boleh dilihat apabila rumpai ini digalakkan atau dibiarkan tumbuh dengan bebas di kawasan-kawasan yang terdedah atau diancam hakisan. Ia juga kerapkali dibiar tumbuh untuk membaik pulihkan kawasan yang telah diteroka. Ini seperti Acroceras munronum (rumput rintik rapat) yang dibiarkan tumbuh dilereng-lereng bukit sepanjang lebuh raya.

Selain kebaikan rumpai sebagai tumbuhan yang digunakan bagi mengelak hakisan ia juga telah dijadikan makanan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, kuda, dan babi. Rumpai yang digunakan ialah seperti Paspalum dilatatum, rumput yang penting untuk ternakan yang terdapat di kawasan pantai Australia. Rumpai laut seperti Luminaria dan Fucus juga dijadikan makanan haiwan ternakan. Malah di Ireland dan Scotland terdapat industri pemprosesan rumpai untuk tujuan ini.

Selain itu terdapat juga rumpai yang boleh dijadikan sebagai makanan untuk manusia. Ini boleh dilihat apabila manusia menyedari bahawa beberapa rumpai laut terutama alga merah dan alga perang boleh dijadikan sebahagian daripada diet. Namun cara memakannya berbeza-beza bergantung kepada kebudayaan masing-masing.
Rumpai laut ini boleh dimakan mentah, dimasak atau dikeringkan. Tumbuhan ini merupakan sumber yang baik bagi beberapa vitamin dan mineral selain mempunyai kandungan protein yang tinggi. Ini seperti rumpai Gracilaria coronopifolio (alga merah) dan Entermorha prolifera (alga hijau).

KEBURUKAN AKIBAT RUMPAI

Rumpai melalui takrifnya sendiri cukup mengambarkan yang ia suatu tumbuhan yang banyak memberi masalah, kerugian atau memberi kesan buruk kepada manusia dan juga haiwan. Kesan-kesan buruk ini mungkin dapat dilihat secara langsung atau tidak langsung. Walau bagaimanapun, akan diterangkan secara umum keburukan akibat rumpai ini. Perbincangan tidak akan hanya berkisar kepada kerugian yang dialami dalam sektor pertanian sahaja tetapi akan dibincangkan juga keburukannya kepada aspek-aspek lain. Kerugian yang ditimbulkan oleh rumpai sukar dinilaikan terutama kerugian yang wujud secara tidak langsung.

Keburukan akibat rumpai adalah seperti kesan buruk rumpai keatas bidang pertanian, kesan rumpai kepada manusia dan haiwan, kesan rumpai keatas pengaliran air sungai dan kolam, dan lain-lain kesan lagi.

KESAN RUMPAI KEPADA SEKTOR PERTANIAN

Rumpai menimbulkan kesan yang sangat jelas ke atas pengeluaran hasil pertanian. Ini kerana rumpai biasanya lebih agresif dan dapat menyesuaikan pertumbuhannya walaupun dalam keadaan yang kurang baik. Sifat begini biasanya dipunyai oleh kebanyakan spesies rumpai yang hidup di dalam kawasan pertanian. Selain daripada sifat yang dinyatakan itu, rumpai juga mempunyai beberapa sifat lain yang agak istimewa berbanding dengan tanaman. Kesemua sifat ini akan menolong rumpai untuk bersaing dengan tanaman. Rumpai lebih berjaya dalam persaingan terhadap nutrien, air, karbon dioksida, dan cahaya jika dibandingkan dengan tanaman. Ini menyebabkan kemerosotan hasil dalam kebanyakan kawasan pertanian. Dalam tanaman tertentu, rumpai menyebabkan peratus kemerosotan yang sangat tinggi. Ini seperti rumpai Echinochloa crus-galli yang tumbuh dalam sawah dan bersaing dengan pokok-pokok padi dan akan mengakibatkan pengeluaran padi merosot.

Rumpai selain daripada mengurangkan hasil ia juga akan menjejaskan kualiti tanaman disamping meningkatkan kos pengeluaran. Ini kerana biji atau serpihan daripada rumpai sering bercampur dengan hasil tuaian. Ini sering berlaku semasa menuai tanaman bijirin dengan menggunakan alat jentera. Bijirin yang tercemar dengan biji-biji rumpai mempunyai harga pasaran yang rendah. Contohnya, padi yang bercampur dengan biji-biji
rumpai akan dikelaskan dengan gred yang rendah. Malah bahagian-bahagian tanaman yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan menyebabkan kerosakan semasa penyimpanan. Serpihan rumpai biasanya lembap dan semasa pereputan haba akan terbebas dan kulat pada serpihan rumpai boleh menjangkiti tanaman dan merosakkannya. Semua ini akan menjejaskan kualiti tanaman.

Rumpai turut meningkatkan kos pengeluaran kerana penggunaan buruh dan racun rumpai bagi mengawal pertumbuhannya. Merumput rumpai perlu dilakukan terutama dalam peringkat tertentu dalam masa pertumbuhan tanaman. Misalnya, dalam tanaman kacang tanah,rumpai perlu sentiasa dijaga rapi dalam tempoh 4 minggu pertama. Jika ia tidak dijaga rapi dalam tempoh ini, maka pertumbuhan pokok akan terencat. Ini akan merugikan petani.

KESAN RUMPAI KE ATAS MANUSIA DAN HAIWAN

Tikus merupakan pembawa penyakit sampar dan gemar hidup di kawasan belukar. Kuman penyakit ini iaitu sejenis bakteria Yarsinia pestis, berjangkit daripada seekor tikius kepad seekor tikus yang lain oleh sejenis kutu Xenopsylla cheopsis. Apabila tikus ini mati, kutu tikus pembawa ini boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit tersebut. Biasanya rumpai yang hidup berhampiran air, misalnya Eichhornia crassipes menjadi tempat yang sesuai kepada tikus pembawa kuman tersebut. Terdapat banyak lagi contoh yang menunjukkan rumpai boleh menjadi habitat kepada vektor. Misalnya lalat Stomoxys dan Tabanus hidup di kawasan belukar dan membawa Trypanosoma evansi yang boleh menyebabkan penyakit surra pada lembu.

Terdapat juga rumpai yang mengandungi sebatian kimia yang boleh menyebabkan keracunan kepada manusia dan haiwan ternakan yang memakannya. Ada spesies rumpai yang mengandungi aras oksalat larut yang tinggi seperti Halogeton glomeratus dan terdapat juga rumpai yang mengandungi asid hidrosianik seperti Prunus. Selain bahan-bahan tersebut terdapat beberapa lagi bahan beracun yang boleh didapati pada rumpai. Bahan-bahan beracun ini boleh didapati terkumpul di bahagian biji, beri, umbisi atau daun. Di Afrika Selatan, biji-biji Senecio sp. yang bercampur dengan gandum telah menyebabkan keracunan kepada manusia.
Daripada beberapa contoh di atas jelas menunjuk adanya hubungan rumpai dengan kesihatan dan keracunan terhadap manusia dan haiwan ternakan.

KESAN RUMPAI KE ATAS PENGALIRAN AIR SUNGAI DAN KOLAM

Rumpai akuatik tidak kurang juga menimbulkan masalah dalam sistem perparitan di negara ini. Rumpai-rumpai seperti Lemna, Pistia, dan Eichhornia crassipes, menimbulkan pelbagai masalah yang perlu dikawal setiap masa kerana ia hidup dalam parit dan kolam-kolam boleh menyekat pengaliran air. Perahu tidak dapat bergerak dalam sungai-sungai yang dipenuhi dengan rumpai akuatik. Keadaan ini akan mengganggu laluan di sungai yang merupakan sistem perhubungan yang penting disesetengah kawasan.

Ikan juga sukar untuk hidup di kolam-kolam yang ditumbuhi dengan rumpai seperti Lemna, Pistia, dan Salvinia di permukaan airnya. Disebabkan kandungan oksigen di dalam air ini sangat rendah serta kekurangan cahaya menyebabkan ikan tidak sesuai untuk hidup.

KESAN-KESAN RUMPAI YANG LAIN
Rumpai juga memberi kesan keatas penjagaan kawasan rekreasi, taman dan padang permainan. Kewujudan rumpai di kawasan tersebut akan mencacatkan pemandangan dan menyukarkan pergerakan. Ia juga akan mencacatkan kecantikan sesuatu kawasan tersebut.

Selain itu rumpai turut memberi kesan keatas kualiti ternakan. Ini boleh dilihat apabila haiwan ternakan seperti lembu tenusu telah menghasilkan susu yang rendah kualitinya. Ini kerana rumpai seperti rumpai dari genus Allium spp. yang terdapat di padang-padang ragut.

PENGAWALAN RUMPAI
Rumpai boleh menyebabkan kerugian yang besar dalam penghasilan tanaman, dan keindahan alam sekitar. Oleh yang demikian rumpai perlulah dikawal pertumbuhannya. Terdapat pelbagai kaedah pengawalan rumpai yang boleh digunakan. Antaranya, kawalan secara mekanik, kawalan secara biologi, kawalan secara pencegahan melalui amalan yang baik dan kawalan secara menggunakan racun rumpai.

KAWALAN SECARA MEKANIK

Kawalan secara mekanik ialah termasuk kawalan dengan tangan seperti mencabut, mencangkul, menebas keluar rumput daripada tanah. Kerja-kerja tersebut boleh dilakukan sendiri oleh petani dengan menggunakan alat-alat seperti parang, cangkul, sabit tajak, tenggala,dan mesin yang dilengkapi dengan alat-alat pemotong. pembajak dan penggembur yang memudahkan lagi kerja-kerja pengawalan di samping menjimatkan masa, kos, dan tenaga manusia.

KAWALAN SECARA BIOLOGI

Kaedah pengawalan ini melibatkan penggunaan haiwan seperti kulat, parasit, bakteria danpelbagai organisma lagi. Kaedah ini juga melibatkan penggunaan binatang ternakan seperti lembu, kambing,biri-biri dan kerbau. Kaedah ini sesuai terutama di kawasan padat dengan rumpai.

PENCEGAHAN MELALUI AMALAN YANG BAIK

Penbiakan rumpai dapat dikurangkan jika beberapa langkah pengawalan telah dilakukan diperingkat awal-awal lagi. Ini seperti menggunakan biji benih yang bermutu tinggi dan bersih daripada biji benih rumpai. Menggunakan alat-alat pembajak, yang bersih dan dicuci selepas menggunakannya. Selain itu memastikan biji-biji rumpai yang telah di potong tidak dibuang dimerata-rata tempat sehingga boleh bercampur semula dengan biji benih tanaman. Sekiranya petani mengamalkan cara amalan ini , berkemungkinan tanaman mereka menghasilkan hasil yang baik boleh ditingkatkan.

KAWALAN DENGAN MENGGUNAKAN RACUN RUMPAI

Penggunaan racun rumpai dalam mengawal pertumbuhan adalah suatu kaedah yang sering digunakan dalam bidang pertanian pada masa ini. Penggunaan racun rumpai dapat menjimatkan kos dan masa. Racun rumpai yang baik dan sesuai untuk menghalang pembiakkan rumpai dapat memusnahkan rumpai di kawasan pertanian.

Racun rumpai yang digunakan boleh berbentuk organik dan bukan organik. Contoh-contohnya seperti Natrium arsenit (racun bukan organik) dan racun klorofenoksi (racun organik).

KESIMPULAN

Rumpai walaupun melalui takrifnya membawa makna kepada yang lebih buruk daripada memberi kesan baik atau kebergunaan, ia tetap penting kepada ekosistem bumi kita. Rumpai boleh di kawal dan pengawalan yang betul dapat menjimatkan kos, masa , dan tenaga. Rumpai juga menjadi sumber makanan kepada manusia dan haiwan ternakan.

BIBLIOGRAFI
Ismail Sahid 1989. Sains Rumpai. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Azly b. Mohd.Yusof 1988. Rumpai: Panduan Berilustrasi. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Ismail 1995. Rumpai Laut Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka.















No comments: