Thursday, April 30, 2009

PERTANIAN DARI SEGI PERSPEKTIF ISLAM

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Galakkan Islam Kepada Bidang Pertanian

Bagi umat Islam, kegiatan di dalam bidang ini merupakan di antara cara yang mudah bagi mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala di samping mendapat manfaat atau pendapatan yang halal daripada hasil jualan keluaran pertanian.

Ulama berselisih pendapat mengenai usaha yang paling baik, sama ada usaha daripada perniagaan, pertukangan ataupun pertanian. Menurut Imam An-Nawawi dalam Shahihnya, pekerjaan yang baik dan afdhal ialah pertanian. Inilah pendapat yang sahih kerana ia merupakan hasil tangannya sendiri dan ia juga memberi manfaat kepada diri sendiri, umat Islam dan kepada binatang. Di samping itu bidang pertanian juga membawa para petani kepada sifat tawakkal. (Al-Majmuk: 9/54 & Shahih Muslim Syarah Imam An-Nawawi)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan mengenai pahala dan ganjaran orang-orang yang menjalankan bidang pertanian ini sebagaimana riwayat Anas bin Malik, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Tiada seorang Muslim pun yang bertani atau berladang lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang melainkan bagi dirinya daripada tanaman itu pahala sedekah”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalan riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tiada seorang muslim menanam dan bertani maka hasil pertaniannya itu dimakan oleh manusia, binatang dan sebagainya melainkan dia akan menerima ganjaran pahala sedekah – dalam riwayat yang lain: “melainkan dia akan menerima pahala sedekah hingga hari Kiamat”.
(Hadis riwayat Muslim)


Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Imam An- Nawawi bahawa hadis-hadis yang dinyatakan di atas adalah penjelasan mengenai fadilat (kelebihan) bercucuk tanam dan ganjaran bagi orang yang melakukannya itu berterusan hingga hari Kiamat selagi tanaman itu masih kekal.

Dalam hadis marfu‘ pula, daripada riwayat Abu Ayyub Al-Anshari, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman melainkan Allah Azza Wajalla menetapkan baginya ganjaran pahala sebanyak jumlah yang dihasilkan oleh tanaman tersebut”.
(Hadis riwayat Ahmad)

Oleh itu mengusahakan hasil bumi dengan bertani dan menjayakan tanah terbiar merupakan satu cara mendapatkan punca pendapatan yang halal lagi sah di sisi Islam.


Menurut sejarah Islam, setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah, Baginda telah menggalakkan usaha pertanian agar ditingkatkan. Bumi Madinah ketika itu sememangnya subur perlu diusahakan dengan lebih giat.

Dalam hubungan ini, kaum Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda diaturkan supaya bekerjasama dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah di dalam usaha-usaha pertanian. Hal seumpama ini sesuai dengan riwayat Rafi‘ bin Hadij bahawa di zaman Rasulullah telah diingatkan oleh beberapa orang bapa-bapa saudara Baginda iaitu Rasulullah melarang daripada perkara yang memberi manfaat kepada kami, lalu kami bertanya: Apakah perkara tersebut?:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerjakannya dengan bertani atau (jika dia tidak berupaya melakukannya) hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan janganlah dia menyewakannya (sekalipun) hanya sepertiga, seperempat dan makanan asasi.”
(Hadis riwayat Abu Dawud)

Hakikat betapa Islam sangat menggalakkan sektor pertanian jelas daripada peruntukkan yang ada di dalam syariah. Sebagai contoh, sesiapa sahaja yang mengusahakan tanah terbiar dengan jayanya akan mendapat hak milik kekal terhadap tanah berkenaan berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Peruntukkan ini jelas memberi intensif kepada pengusaha-pengusaha bidang pertanian yang mengusahakan tanah terbiar atau mati. Perkara ini disebutkan dalam riwayat Aisyah Radhiallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang memakmurkan (mengusahakan) tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)


Walau bagaimanapun kita telah pun mempunyai peraturan atau undang-undang tanah, maka tidaklah boleh menggunakan tanah dengan sewenang-wenangnya melainkan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa.

Menanam Tanaman Haram Dan Membahayakan

Walaupun Islam sangat menggalakkan sektor pertanian, namun Islam melarang aktiviti-aktivit pertanian yang dijalankan bagi tujuan yang meragukan atau tidak sah menurut Islam seperti menanam anggur bagi tujuan membuat minuman keras, penjualan dan pengeluaran bahan-bahan yang memudaratkan manusia seperti penanaman ganja serta lain-lain tumbuhan yang mengandungi racun.


Dalam kitab al-Majmuk ada membincangkan kedudukan sama ada boleh atau tidak seseorang menjual anggur yang ditanamnya kepada seseorang yang diketahui akan atau kelazimannya menggunakan anggur itu bagi membuat minuman keras, maka pendapat yang shahih adalah haram bagi orang berkenaan menjual anggurnya kepada pembeli tersebut. (Al-Majmuk: 9/334) Walaupun menanam anggur pada asasnya diharuskan tetapi apabila jelas hasilnya itu akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan, maka para petani perlulah berhati-hati ketika menjualkannya supaya ia bukan penyumbang kepada perkara yang diharamkan itu.

Begitulah kedudukannya dengan lain-lain hasil pertanian seperti ternakan, prinsip ini hendaklah dipegang demi memastikan bahan-bahan yang dikeluarkan itu tidak disalahgunakan bagi tujuan-tujuan yang tidak diharuskan oleh syarak.

Pemasaran Hasil Pertanian

Dalam Islam kegiatan memonopoli dan menyorok sesuatu barangan (ihtikar) terutamanya barang makanan tidak dibenarkan dalam Islam. Dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasalam bersabda:


Maksudnya: “Jangan melakukan perbuatan memonopoli (kerana) perbuatan itu dilakukan oleh orang-orang yang berdosa”.
(Hadis riwayat Muslim)

Begitu juga dengan kegiatan orang tengah yang mengambil kesempatan di dalam urusan pemasaran sesuatu barangan termasuk barang makanan. Kerana itu Islam melarang urus niaga yang dinamakan talaqqa ar-rukban iaitu kegiatan menemui para pengeluar barangan termasuk para petani di luar bandar dan membeli barangan mereka sebelum mereka sampai ke bandar atau pekan dan mengetahui harga pasaran sebenar, dalam makna yang lain membeli dengan harga yanh murah dan menjualnya dengan harga yang mahal, sehingga akhirnya akan menjejas kepentingan pengguna. Menurut Khatib as-Syarbini sah urus niaga tersebut jika tidak bermaksud sedemikian. (Mughni Al-Muhtaj: 2/36)

Perkara ini adalah berdasarkan larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam bersabda: “Jangan kamu membeli dagangan secara rukban (barang dagangan yang masih berada di atas kenderaan untuk dijual)”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari & Abu Dawud)
Penutup

Penjelasan di atas menggambarkan bahawa Islam memberi perhatian dan sangat menggalakkan kepada sektor pertanian. Malahan Islam memberi panduan dalam memastikan segala aktiviti pertanian iaitu bermula daripada projek dijalankan hinggalah kepada proses pemasaran dan jualan menurut garis panduan yang jelas dan adil demi mengelakkan perbalahan di antara penjual dan pembeli.

Walau bagaimanapun, perhatian tidak seharusnya diberikan hanya kepada sektor ini dengan mengabaikan kepentingan sektor-sektor lain kerana matlamat utama kita ialah mencapai keseimbangan di dalam segala bidang untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam rangka membangun negara dan ummah.

Penggunaan Tandan Sawit Kosong

  • Kadar pengaliran keluar nutrien daripada Tandan Sawit Kosong adalah sangat pantas iaitu 50% dalam keadaan kering pada 3 bulan pertama dan 70% selepas 8 bulan.
  • 1 tan TSK bersamaan 7kg Urea, 2.8kg fosforus, 19.3kg Potasium Klorait dan 4.4kg Magnesium Sulfat.


Tujuan

  • meningkatkan tahap kesuburan tanah.
  • meningkatkan bahan organic didalam tanah
  • membaikpulih ciri-ciri kimia, fizik dan biologi tanah.
  • menggalakkan pembiakan humus
  • membekalkan Kalium kepada pokok.
  • mengekalkan kelembapan tanah
  • Meningkatkan pengambilan nutrien Nitrogen, Kalium dan Potasium dan juga
  • mengurangkan hakisan tanah semasa hujan lebat.



Peralatan

  • Back hoe loader
  • Mini traktor


Cara Kerja

  • TSK diangkut daripada kilang dan diletakkan ditepi jalan utama. Longgokan TSK mestilah tidak berdekatan dengan parit atau saluran air.
  • Back hoe loader digunakan untuk mengangkut TSK kedalam mini traktor untuk dilonggok di kawasan yang telah ditentukan oleh penolong pengurus.
  • Tandan Sawit Kosong dilonggok di lorong antara 2 pokok.
  • Selonggok TSK ialah seberat 0.5 tan.
  • Longgokan TSK ditepi jalan utama hendaklah diagihkan kepada semua pokok kerana ia akan menjadi sarang kepada serangga perosak seperti kumbang badak ( Oryctes rhinoceros )

Kos Kerja

Kerja melonggok TSK diberi kepada kontraktor sebelum termasuk kos pengangkutan ialah:

RM180/ha

Produktiviti

1 hektar = 40 tan TSK
1 pokok = 0.3 tan TSK
94 hektar = 3760 tan TSK

Seorang pekerja dengan sebuah back hoe loader dan sebuah mini traktor dapat menyiapkan 1 hektar kawasan bersamaan 138 pokok.

Wednesday, April 29, 2009

BAHAN AKTIF RACUN PEROSAK

(Dipetik dari majalah Teknotani 2000)

Sepuluh jenis bahan aktif baru untuk bidang pertanian telah didaftar oleh Lembaga Racun Makhluk Perosak. Kebanyakan bahan aktif ini adalah highly active dan spesifik untuk mengawal sesuatu perosak. Bahan-bahan aktif ini adalah kurang memudaratkan berbanding dengan bahan-bahan aktif yang didaftarkan terlebih dahulu. Kadar penggunaannya rendah iaitu di antara 20 gm -1 50 gm bahan aktif sehektar. Azadiractin pula adalah ektrak dari tanaman neem untuk mengawal serangga perosak. Ia tiada mempunyai tempoh dilarang mengutip hasil (TDMH) sesuai untuk diguna pada tanaman yang hasilnya perlu dikutip sepanjang masa seperti kacang wangi. Keterangan bahan-bahan aktif ini adalah seperti berikut:-

1. Acibenzolar (47.5% w/w) - Pengaktif Tanaman
Nama dagangan: Bion 50 WG
Formulasi: Butir Terserak Air
Tahun didaftar: 1998
No. LRMP : 4943 Kelas V
Nama pendaftar: Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Sejenis pengaktif tanaman. Bertindak dengan merangsang ketahanan semulajadi tanaman dikenali sebagai Systemic Activated Resistance dan memperbaiki ketahanan terhadap penyakit bintik berpusar (Colletotrichum spp.) dan hawar pucuk (choanephora spp.) pada tanaman cili. Disyorkan pengaktif tanaman ini dicampur dengan mancozeb dan disembur sebelum serangan penyakit.

2. Azadiractin (4.5% w/w) - Racun Serangga
Nama dagangan: Neemix 4.5
Formulasi: Pekat Teremulsi (EC)
Tahun didaftar: 1998
Kelas IV
Nama pendaftar: Surecrop Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Sejenis pengawalatur tumbesar serangga (insect growth regulatory) dari sumber botani yang diekstrak daripada pokok neem. Mengurang populasi serangga perosak dengan cara membantutkan pertumbuhan serangga perosak, menghalang pemakanan dan menghalang peneluran. Kurang bahaya pada serangga berfaedah.

3. Azoxystrobin (22.94% w/w) - Racun Kulat
Nama dagangan: Amistar
Formulasi: Pekat (SC)
Tahun didaftar: 1998
No. LRMP : 5006 Kelas IV
Nama pendaftar: Zeneca (Malaysia) Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Racun sistemik berpektrum luas dan mempunyai ciri-ciri pencegahan penyakit. Untuk kawalan karat putih pada kewa, penyakit lecuh (phytopthora infestans) pada tomato, reput buah (colletotrichum capsici) pada cili, dan kulapuk downy pada timun. TDMH: 3 hari bagi cili, tomato dan timun.

4. Chiorfepapyr
Nama dagangan: Kotetsu
Formulasi: Pekat (SC)
Tahun didaftar: 1997
No. LRMP : 4539 Kelas III
Nama pendaftar: Agricultural Chemicals (M) Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Bertindak sebagai racun konak dan racun perut. Untuk mengawal ulat Plutella pada kubis dan kubis cina; kutu thrips dan lelompat daun pada timun dan terung dan hamama merah pada bunga mawar. TDMH: 14 hari bagi kubis dan kubis cina, 3 hari bagi terung dan timun.

5. Cyclosulfamuron (10% w/w) - Racun Rumpai
Nama dagangan: Invest 10 WP
Formulasi: Serbuk Bancuh (WP)
Tahun didaftar: 1998
No. LRMP : 4734 Kelas IV
Nama pendaftar: Cyanamid Agricultural Products Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Racun sistemik yang meresap melalui akar dan daun. Untuk mengawal rumpai berdaun lebar dan rusiga seperti keladi air, rumput telinga tikus, lakum air, rumput air, pada tanaman padi. Racun ini boleh dicampur dengan bahan aktif propanil atau pendimethalin untuk mengawal rumpai jenis rumput.

6. Prodione (50% w/w) - Racun Kulat
Nama dagangan: Rovral
Formulasi: Serbuk Bancuh (WP)
Tahun didaftar: 1998
No. LRMP : 4898 Kelas IV
Nama pendaftar: Rhone Poulenc Malaysia Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Racun kontrak yang mempunyai tindakan protective dan curative. Untuk mengawal penyakit hawar, bintik daun pada tanaman kubis cina, timun, tomato, kulapuk kelabu bagi cili, tomato, terung, kekwa, ros, binting perang, hawar seludang pada tanaman padi dan rumput turf. TDMH: 3 hari bagi timun dan tomato; 7 hari bagi kubis cina, terung dan cili.

7. Niclosamide ethanolamine (81.4% w/w) - Racun Binatang Lunak (Molluscicide)
Nama dagangan: Baykyscude 70 WP
Formulasi: Serbuk Bancuh (WP)
Tahun didaftar: 1998
No. LRMP : 5031
Nama pendaftar: Bayer (Malaysia) Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Bertindak sebagai racun perut dan melalui sistem pernafasan. Untuk kawalan siput gondang di kawasan padi. Racun toksik kepada ikan; elakkan melepas anak ikan ke dalam kawasan yang telah dirawat sekurang-kurang 7 hari selepas semburan. Racun dihadkan penggunaannya dan hanya boleh didapati daripada penjual yang dibenarkan. Pengguna perlu mendapat surat kebenaran untuk membeli daripada Pegawai Pelesen, Bahagian Kawalan Racun Perosak, Jabatan Pertanian.

8. Pymetrozine (25% w/w) - Racun Serangga
Nama dagangan: Chess 25 WP
Formulasi: Serbuk Bancuh (WP)
Tahun didaftar: 1997
No. LRMP : IV
Nama pendaftar: Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Racun yang memilih; spesifik kepada serangga Homoptera. Memberi kesan kepada pelakuan (behaviour) sehingga serangga perosak berhenti memakan. Untuk mengawal bena perang pada padi. Kurang merbahaya kepada serangga berfaedah. TDMH: 14 hari selepas semburan akhir bagi tanaman padi.

9. Silafluofen (19.6% w/w) - Racun Serangga
Nama dagangan: Silatop
Formulasi: Emulsi, Minyak Dalam Air (EW)
Tahun didaftar: 1997
No. LRMP : 4659 Kelas III
Nama pendaftar: Hoechst Malaysia Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Cara tindakan - racun perut dan konak. Untuk mengawal bena hijau dan bena perang pada tanaman padi. TDMH: 14 hari selepas semburan akhir bagi tanaman padi.

10. Spinosad (2.5% w/w) - Racun Serangga
Nama dagangan: Success 25 SC
Formulasi: Pekat (SC)
Tahun didaftar: 1998
No. LRMP : 4913 Kelas IV
Nama pendaftar: Dow Agrosciences (Malaysia) Sdn. Bhd.

Deskripsi:
Berasal dari kompound semulajadi spinosyns. Spinosyns adalah hasil dari proses fermentasi actinomycete. Bertindak secara sentuhan dan kontak. Untuk mengawal ulat Plutella pada tanaman sawi putih, sawi bunga dan kubis, ulat ratus pada kailan. Impak pada serangga berfaedah - slightly harmful. TDMH: 3 hari bagi sawi putih dan sawi bunga.
Nota:
TDMH - Tempoh dilarang mengutip hasil selepas semburan akhir.