Friday, June 5, 2009

PENJAGAAN LADANG KELAPA SAWIT

Penjagaan ladang kelapa sawit terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:



a) Kelapa sawit belum matang.

b) Kelapa sawit matang.



Kelapa sawit belum matang.



1. Pengurusan Rumpai

Tujuan
  • Menjayakan kekacang tutup bumi
  • Menghalang penyakit dan serangga.
  • Mengurangkan hakisan.
  • Mengelakkan persaingan nutrien dan cahaya
  • Minima 50% kawasan ladang diliputi kekacang dan mengurangkan pertumbuhan rumpai tak berfaedah.

a) Meracun bulatan & lorong.

Objektif

  • Membasmi semua rumpai di kawasan kanopi pokok bagi menghalang kekacang dari menyelimuti pokok dan mengurangkan persaingan mendapatkan nutrien serta cahaya.

Kaedah

  • Penggunaan pam CKS.
  • Herbicide yang betul.

Kekerapan

  • Setiap 45 hari bagi pokok berumur <>12<36>
  • Elakkan racun sistemik

b) Meracun selektif

Objektif
  • Membasmi semua rumpai/anak kayu yang tak berfaedah yang menghalang / menyaingi tumbesaran tanaman utama.

Kaedah


  • Pam CKS 18 liter air + 6 gm Ally bagi anak kayu tingginya<>
  • Wiping (1 liter Melasma/garlon/cowboy +18 liter diesel) disapu pada batang anak kayu yang tingginya >3 kaki.

Kekerapan

  • Setiap 45 hari bagi pokok berumur <>12<36.>

c) Meracun Lalang dan VOPS.


Objektif

  • Menghapuskan lalang

Kaedah

  • Glyphosate (lalang)
  • Paraquat (VOPS)


Kekerapan



  • 2 pusingan setahun


2. Jalan dan Jambatan

Objektif

  • Menyediakan laluan kekawasan ladang untuk memudahkan kerja, penanaman,penyulaman, penyelenggaraan ,pembajaan dan lain-lain.


Kaedah Pengurusan

  • Main road hendaklah ditambak laterite/ batu terlebih dahulu.
  • Kerja pembaikan jalan hanya tertumpu dikawasan yang perlu sahaja seperti di kawasan tanah runtuh dan lain-lain.
  • Pastikan tiada lopak /lubang air bertakung diatas jalan .
  • Parit sisi jalan hendaklah dibina dikawasan yang perlu untuk mengalirkan air keluar terutamanya pada musim hujan.

3. Pengurusan Saliran.

Tujuan

  • Bagi mempastikan kawasan tanaman bebas dari ditakungi oleh air terutamanya pada musim hujan dan boleh menakung air pada musim kemarau.(bagi mengekalkan lembapan.

Kaedah

  • Bersihkan parit dari benda asing.

Kekerapan


  • Dilakukan pada musim kemarau.
  • Apabila perlu sahaja.

4. Tanah Dan Pemuliharaan


Objektif


  • Mempastikan semua kawasan ladang boleh digunakan untuk tanaman utama bagi memaksimakan dirian pokok.

Kaedah



  • Mengenalpasti kawasan yang bermasalah untuk penanaman tanaman utama dan mengambil langkah yang perlu seperti membina “platform” ataupun “bund”


5. Sempadan, Pagar & Ukur



Objektif

  • Mengenalpasti keluasan ladang yang sebenar meliputi sempadan utama, blok,task, jalan , parit,sungai dan kawasan yang tidak sesuai untuk ditanam disamping mengelakkan daripada bertindih dengan kawasan yang bukan milik ladang.
  • Memudahkan kerja pengurusan,penyeliaan dan penyediaan anggaran tahunan yang lebih efisyen.
Kaedah



  • Perimeter survey,ukur sempadan menggunakan kaedah manual(terabas) ataupun digital(G.P.S)



6. Banci/ Sulam



Objektif



  • Mengenalpasti dan memaksimakan dirian sebenar tanaman utama (sehektar) dan melakukan sulaman ataupun gantian dikawasan yang perlu .

Kaedah



  • Sulam setiap point yang kosong .
  • Apabila terdapat pokok yang tidak menunjukkan perkembangan yang baik.

Kekerapan

  • Apabila terdapat point kosong

7. Pemangkasan (pruning)

Objektif

  • Memaksimakan bilangan pelepah dan daun untuk proses penghasilan makanan pokok.
  • Mempastikan kawasan disekeliling bulatan pangkal pokok bersih dari pelepah kering/mati(sanitation)
  • Mengurangkan risiko perosak tanaman (tikus)
Kaedah

  • Memangkas hanya pelepah kering pada tahun ke 3 usia pokok.• Bendasing disekeliling pangkal pokok hendaklah dibersihkan.
8. Musuh dan Penyakit (Pest & Disease)

Objektif

  • Meminimakan musuh perosak dari merosakkan tanaman utama (Khinzir,Gajah,landak ,tikus)
  • Meminimakan serangan penyakit.
Kaedah


  • Pagar elektrik, Parit gajah , rondaan dan kawalan.
  • 'Rat baiting' hendaklah dilakukan dalam tempoh 3-6 bulan selepas penanaman.
9. Pembajaan

Objektif

  • Membekalkan nutrien untuk tanaman utama.

Kaedah

  • Menabur disekeliling pangkal pokok mengikut kanopi secara manual.(Broadcast)
  • Subsoil (baja poket)
  • Baja cecair(Foliar)
  • EFB mulching


10. Penyelidikan

Objektif
  • Mengenalpasti dengan lebih tepat jenis nutrien yang diperlukan oleh pokok

Kaedah
  • Mengikut manual pembajaan yang telah ditetapkan

Tuesday, June 2, 2009

NILAI KEMASAKAN BUAH SAWIT

Tujuan menetapkan nilai kemasakan buah adalah seperti berikut;
  • Untuk memperbaiki kualiti BTS yang dihantar ke kilang
  • Untuk memperbaiki kulaiti Minyak Sawit Mentah
  • Untuk menambahkan kadar perahan minyak bagi minyak sawit mentah dan minyak isirong sawit.
  • Untuk memaksimumkan untung dan faedah pembekal dan kilang.

Tandan sawit biasanya masak apabila warnanya bertukar dari hitam ke oren kemerah-merahan dan mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah lerai yang terpisah di bawah pokok. Dalam tempoh ini, buah tandan segar boleh dituai kerana buah telah masak sepenuhnya dan Buah tandan segar tersebut mempunyai minyak yang maksimum.Nilai kemasakan buah biasanya ditentukan oleh polisi sesebuah syarikat.



ELAKKAN DARIPADA MENUAI TANDAN YANG MEMPUNYAI BERKUALITI RENDAH KERANA IA AKAN MEMBERI KESAN KEPADA HARGA MINYAK SAWIT DI PASARAN.CONTOHNYA :

Ø TANDAN TERLALU MASAK
Ø TANDAN MENTAH
Ø TANDAN KECIL
Ø TANDAN KOSONG
Ø TANDAN BUSUK
Ø TANDAN DURA
Ø TANDAN TUA
Ø TANDAN KOTOR


Klasifikasi Buah Sawit di Kilang (mengikut MPOB)



1. Tandan Masak

Tandan Masak ialah tandan segar yang berwarna oren kemerahan dan mesokarpa buah lapisan luarnya berwarna oren. Tandan ini mempunyai sekurang-kurangnya sepuluh (10) soket segar buah relai dan lebih daripada lima puluh peratus (50%) buah masih melekat pada tandan semasa pemeriksaan di kilang. Tandan dan buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas dituai.



2. Tandan Mengkal

Tandan Mengkal ialah tandan segar yang berwarna oren kemerahan atau ungu kemerahan dan mesokarpa buah lapisan luarnya berwarna oren kekuningan. Tandan ini mempunyai kurang daripada sepuluh (10) soket segar buah relai semasa pemeriksaan di kilang. Tandan dan buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas dituai.


3.Tandan Muda

Tandan Muda ialah tandan segar yang berwarna hitam atau ungu kehitaman dan mesokarpa buah lapisan luarnya berwarna kekuningan. Tandan ini tidak mempunyai soket segar buah relai semasa pemeriksaan di kilang. Soket buah relai (jika ada) pada tandan buah muda bukan disebabkan oleh proses kemasakan biasa.



4. Tandan Terlalu Masak

Tandan terlalu masak ialah tandan segar yang mempunyai buah berwarna merah tua dan lebih daripada lima puluh peratus (50%) buah telah relai daripada tandan tetapi sekurang-kurangnya sepuluh peratus (10%) buah segar masih melekat pada tandannya semasa pemeriksaan di kilang. Tandan dan buah relai hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas dituai.



5. Tandan Kosong

Tandan Kosong ialah tandan yang lebih daripada sembilan puluh peratus (90%) buah telah relai dari tandannya semasa pemeriksaan di kilang




6. Tandan Buruk

Tandan busuk ialah tandan yang sebahagian atau kesemua bahagian tandan dan buah relainya telah berubah warna kepada kehitaman, busuk dan berkulat.


7. Tandan Tangkai Panjang

Tandan Tangkai Panjang ialah tandan segar yang mempunyai tangkai melebihi 5cm diukur dari paras terbawah tangkai tandan



8. Tandan Tidak Segar

Tandan Tidak Segar ialah tandan yang telah dituai dan dibiarkan di ladang lebih daripada 48 jam sebelum dihantar ke kilang dan semua atau sebahagian buah serta tangkainya telah layu. Tangkai tandan tidak segar biasanya kering dan berwarna kehitaman.



9. Tandan Lama
Tandan Lama ialah tandan yang telah dituai dan dibiarkan lama di ladang sebelum dihantar ke kilang. Buah yang masih melekat pada tandan ini telah kecut dan berwarna perang kehitaman. Tangkainya juga telah kecut, lembut, berserabut dan warna kehitaman




10. Tandan Kotor

Tandan Kotor ialah tandan yang lebih separuh daripada permukaan buahnya berlumpur, berpasir,beramang dan dicampur dengan batu atau jirim-jirim asing yang lain




11. Tandan Kecil

Tandan Kecil ialah tandan yang mempunyai buah yang kecil dan beratnya kurang daripada 2.3 kg.



12. Tandan Rosak
Tandan Rosak ialah tandan yang lebih daripada 30 % bahagian buahnya telah rosak diserang oleh binatang-binatang perosak terutamanya tikus

13. Tandan Berpenyakit

Tandan Berpenyakit ialah tandan yang mempunyai buah yang tidak normal dari segi saiz atau kepadatannya atau tandan yang mempunyai lebih daripada lima puluh peratus (50%) buah ‘parthenocarpic’





PROSES PENGAMBILAN PEKERJA ASING (INDONESIA)

  1. Proses pengambilan tenaga kerja ini dimulakan dengan mengenal pasti keperluan pekerja ladang .
  2. Permohonan kuota daripada Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen. (Antara 1 hingga 2 bulan.)
  3. Mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan jumlah kuota yang diperlukan.
  4. Permohonan tenaga kerja asing (Indonesia) melalui agen pengurusan sumber manusia Indonesia. (PT. MITRAMAJU MULYOLESTARI) di Lombok, Indonesia.
  5. Pihak agen di Indonesia akan meminta Syarikat menghantar faks atau salinan surat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
  6. Pihak Syarikat akan ke Indonesia untuk berjumpa dengan bakal pekerja untuk memberi taklimat dan sesi temuduga dijalankan untuk ujian pemilihan.
  7. Pihak agen akan menguruskan ujian kesihatan (Medical) dirumah sakit umum atau hospital yang dibenarkan oleh Kerajaan Malaysia dan seterusnya menguruskan passport (7 – 14 hari) sekiranya lulus ujian kesihatan.
  8. Salinan passport dan Sijil Perubatan (asal) beserta 4 keping gambar berukuran pasport akan dihantar kepada Syarikat dalam tempoh 4 hari penghantaran.
  9. Syarikat akan menyerahkan dokumen tersebut (Sijil Perubatan) ke Jabatan Imigresen untuk mendapatkan “ Calling Visa” yang mana memakan masa selama 7 hari. (Sijil Perubatan hanya sah dalam tempoh 3 bulan dari tarikh sijil tersebut).
  10. Salinan asal Visa Panggil ini akan dihantar ke agen di Indonesia dalam tempoh penghantaran 4 hari.
  11. Agen akan menguruskan Visa Masuk dengan izin dari Kerajaan Indonesia dan Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Riau sama lebih kurang 7 hari.
  12. Pekerja akan bertolak dari Mataram ke Surabaya setelah Visa dicop di Pekan Baru.
  13. Kursus selama 2 hari akan diberikan kepada bakal pekerja di Jabatan Tenaga Kerja Indonesia di Surabaya.
  14. Surat untuk pekerja berkursus selama 2 hari di Surabaya sebelum ke Malaysia yang juga dipanggil ‘Pembekalan Akhir Pemberangkatan’ (PAP).
  15. Setelah lulus, pekerja akan bertolak dari Surabaya ke Batam/Dumai lebih kurang 5 hari perjalanan dan passport pekerja akan diserahkan di Batam/Dumai yang mengandungi Single Entry Visa (sah untuk 3 bulan sahaja).
  16. Pekerja seterusnya datang ke Malaysia dari Batam/Dumai samada ke Melaka atau Setulang Laut, Johor.(2 hari perjalanan)
  17. Setibanya di Malaysia, para pekerja ini akan diambil sendiri oleh pihak Syarikat menggunakan bas/keretapi.
  18. Tiba di Ladang mereka akan diberi rehat selama 1 hari dan keesokannya mula bekerja.
    Setiap pekerja ini akan menandatangani surat Perjanjian Pekerjaan diantara pekerja dan juga Syarikat .
  19. Didalam perjanjian tersebut dinyatakan mengenai syarat-syarat dan terma-terma yang harus dipatuhi oeh pekerja.

AKTA RACUN MAKHLUK PEROSAK 1974 (BAHAGIAN 1)


GARIS PANDUAN
KAEDAH-KAEDAH RACUN MAKHLUK PEROSAK
(PENGENDALI KAWALAN MAKHLUK PEROSAK) 2004


1. PENDAHULUAN

Berkuat kuasa pada 19 Febuari 2004, semua pengendali kawalan makhluk perosak hendaklah mempunyai lesen untuk menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak ke atas harta orang lain seperti di rumah atau tempat awam bagi upah.

1.1 Garis panduan ini bertujuan untuk memberi maklumat-maklumat tentang keperluan-keperluan dan syarat-syarat kawalan makhluk perosak.
2. TAKRIF

2.1 “Racun Makhluk Perosak” tertakluk kepada seksyen-seksyen (2) Akta Racun Makhluk Perosak (Pindaan) 2004 ditakrifkan sebagaimana berikut: -

(a) apa-apa bahan yang mengandungi suatu perawis aktif; atau
(b) apa-apa persediaan, campuran atau benda yang mengandungi mana-mana satu perawis aktif itu atau lebih sebagai satu daripada juzuknya, tetapi tidak termasuk makanan tercemar atau apa-apa barang yang disenaraikan dalam Jadual Kedua.

2.2 “di bawah penyeliaan” berhubung dengan pengendalian kawalan makhluk perosak yang dijalankan oleh seseorang pembantu pemakai racun makhluk perosak berlesen, ertinya bertindak di bawah arahan dan kawalan seorang pemakai racun makhluk perosak berlesen yang ada jika dan apabila diperlukan, walaupun pemakai racun makhluk perosak berlesen itu tidak ada secara fizikal pada masa dan di tempat pengendalian kawalan makhluk perosak itu dijalankan;

2.3 “harta” ertinya semua kawasan daratan dan perairan, termasuk ruang udara atas kawasan sedemikian, dan semua tumbuhan, haiwan, struktur, bangunan, peralatan dan mesin, sama ada yang tetap atau yang bergerak, yang berkaitan dengan atau terletak atas kawasan sedemikian;
2.4 “kawalan anai-anai dan organisma pemusnah kayu yang lain” ertinya kawalan anai-anai atau organisma pemusnah kayu yang lain dengan menggunakan racun makhluk perosak;

2.5 “kawalan makhluk perosak rumah secara am” ertinya kawalan makhluk perosak di rumah dengan menggunakan racun makhluk perosak, tetapi tidak termasuk pemewasapan yang dikawal di bawah Akta Hidrogen Sianid (Pengasapan) 1953 [Akta 260] dan kawalan anai-anai dan organisma pemusnah kayu yang lain;

2.6 “Kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam” ertinya kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam di tempat awam dengan menggunakan racun makhluk perosak, tetapi tidak termasuk pemewasapan yang dikawal di bawah Akta Hidrogen Sianid (Pengasapan) 1953;

2.18 “tugas kawalan makhluk perosak yang utama” ertinya kawalan anai-anai dan organisma pemusnah kayu yang lain, kawalan makhluk perosak rumah secara am di premis komersial atau kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam yang dijalankan oleh seseorang pemakai racun makhluk perosak berlesen, atau seseorang pembantu pemakai racun makhluk perosak berlesen di bawah penyeliaan sendiri seorang pemakai racun makhluk perosak berlesen.

3. Kawalan Makhluk Perosak

Seseorang yang menjalankan -:

(a) Kawalan makhluk perosak rumah secara am;
(b) Kawalan anai-anai dan organisma pemusnah kayu yang lain;
(c) Kawalan rumpai awam secara am; atau
(d) Kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam.

di atas harta orang lain bagi upah hendaklah mempunyai sesuatu lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga, dengan menggunakan hanya racun makhluk perosak yang didaftarkan oleh Lembaga.
4. Kategori Lesen

Kategori lesen yang dikeluarkan di bawah kaedah-kaedah ini adalah:
Lesen pengendali kawalan makhluk perosak;
Lesen pemakai racun makhluk perosak; atau
Lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak.
5. Peperiksaan

Lembaga akan menjalankan peperiksaan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mereka yang berniat untuk melayakkan diri sebagai pemakai racun makhluk perosak atau pembantu pemakai racun makhluk perosak. Kelulusan dalam peperiksaan ini adalah prasyarat bagi permohonan untuk lesen pemakai racun makhluk perosak dan lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak. Tujuan utama keperluan ini adalah mempastikan bahawa pengendalian kawalan racun makhluk perosak yang dijalankan bukan sahaja berkesan, tetapi lebih penting daripada itu, tidak memudaratkan penghuni-penghuni premis yang mana racun makhluk perosak dipakai dan juga kontaminan dalam alam sekitar.

5.1 Peperiksaan Pemakai Racun Makhluk Perosak

Untuk memohon menduduki peperiksaan pemakai racun makhluk perosak, pemohon hendaklah:

(a) mempunyai sekurang-kurangnya tamat mengikuti Tingkatan Lima atau yang setaraf dengannya; atau

(b) mempunyai sekurang-kurangnya tiga (3) tahun pengalaman bekerja sebagai pembantu pemakai racun makhluk perosak berlesen dalam sesuatu syarikat atau perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak; dan

(c) mengemukakan kepada Lembaga permohonan dalam Borang A1 dan disertakan dengan fi peperiksaan sebanyak RM150.00.

5.2 Pepeiksaan Pembantu Pemakai Racun Makhluk Perosak
Untuk memohon menduduki peperiksaan pembantu pemakai racun makhluk perosak, pemohon hendaklah –
(a) mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan dalam Tahun Enam; atau
(b) mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) tahun pengalaman bekerja sebagai seorang pekerja yang terlibat dalam pemakaian racun makhluk perosak dalam suatu syarikat atau perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak; dan
(c) mengemukakan kepada Lembaga permohonan dalam Borang A2 dan disertakan dengan fi peperiksaan sebanyak RM100.00.

6. Lesen Pengendali Kawalan Perosak

1) Seseorang yang mempunyai, mengendalikan atau menguruskan suatu syarikat atau perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak yang terlibat dalam menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak ke atas harta orang lain bagi upah, hendaklah memiliki suatu lesen pengendali kawalan makhluk perosak yang dikeluarkan oleh Lembaga.

2) Permohonan untuk lesen pengendali kawalan racun perosak hendaklah dibuat secara bertulis kepada Lembaga dalam Borang B dan disertakan denga fi permohonan sebanyak RM400.00.
3) Lesen pengendali kawalan makhluk perosak adalah sebagaimana dalam Borang C seperti dalam Jadual.
4) Jika Lembaga enggan mengeluarkan suatu lesen pengendali kawalan makhluk perosak kepada pemohon, Lembaga hendaklah memberitahu pemohon secara bertulis mengenai sebab-sebab bagi keengganan itu.
(5) Lesen pengendali kawalan makhluk perosaki tidak boleh dipindahkan miliknya dan dikeluarkan tertakluk kepada syarat-syarat yang berikut:

(i) Melainkan jika dibatalkan atau digantung telebih dahulu, lesen ini adalah sah selama tempoh dua tahun dari tarikh lesen dikeluarkan.
(ii) Lesen ini hendaklah dipamerkan pada sepanjang masa di premis yang dinyatakan dalam lesen ini.
(iii) Tiada seorang pun boleh menjalankan suatu syarikat/perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak selain di premis yang dinyatakan dalam lesen ini.
(iv) Lembaga tidak akan mengeluarkan lesen pengendali kawalan makhluk perosak sehingga pemohon, atau seorang pemakai racun makhluk perosak yang bekerja di bawahnya, yang menjalankan atau menyelia penjalanan pengendalian kawalan makhluk perosak di atas harta orang lain bagi upah, ialah pemakai racun makhluk perosak berlesen.
(v) Pemegang lesen hendaklah memohon kepada Lembaga berkenaan dengan apa-apa pertukaran dalam alamat bagi syarikat/perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak itu sekurangkurangnya
10 hari sebelum pertukaran itu, disertakan dengan satu salinan Lesen untuk Menjual dan Menyimpan untuk Penjualan Racun Makhluk Perosak yang dikeluarkan oleh Pegawai Pelesenan Racun Makhluk Perosak dan, dalam hal perniagaan yang mengendalikan kawalan makhluk perosak, lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan bagi premis yang baru.
(vi) Pemegang lesen hendaklah memaklumkan kepada Lembaga berkenaan dengan apa-apa perubahan mengenai pemakai racun makhluk perosak berlesen yang bekerja di bawahnya dalam tempoh 10 hari daripada perubahan itu.
(vii) Lembaga boleh, sebagai tambahan kepada syarat-syarat di atas, mengenakan apa-apa syarat yang lain yang difikirkannya perlu.

7. Lesen Pemakai Racun Makhluk Perosak

(1) Seseorang yang menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak, atau menyelia, sama ada dengan sendirinya, penjalanan pengendalian kawalan makhluk perosak oleh seorang pembantu pemakai racun makhluk perosak berlesen, hendaklah mempunyai suatu lesen pemakai racun makhluk perosak yang dikeluarkan oleh Lembaga.
(2) Sesuatu permohonan untuk suatu lesen pemakai racun makhluk perosak hendaklah dibuat secara bertulis kepada Lembaga dalam Borang D, dan disertakan dengan fi permohonan sebanyak RM150.00.
(3) Lesen pemakai racun makhluk perosak hendaklah sebagaimana dalam Borang E .
(4) Jika Lembaga enggan mengeluarkan suatu lesen pemakai racun makhluk perosak kepada pemohon, Lembaga hendaklah memberitahu pemohon secara bertulis mengenai seba-sebab bagi keengganan itu.
(5) Syarat-Syarat Lesen Pemakai Racun Makhluk Perosak:
i. Lesen ini diberikan kepada pemegang lesen untuk menjalankan kawalan makhluk perosak rumah secara am, kawalan anai-anai dan oraganisma perosak kayu yang lain, kawalan rumpai awam secara am dan kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam.
ii. Melainkan jika dibatalkan atau digantung terlebih dahulu, lesen ini adalah sah selama tempoh dua tahun dari tarikh lesen dikeluarkan
iii. Lesen ini tidak boleh dipindahkan miliknya.
iv. Lesen ini hendaklah dipakai oleh pemegang lesen apabila dia menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak.
v. Jika lesen ini hilang, pemegang lesen hendaklah melaporkan perkara itu kepada Lembaga dan memohon untuk penggantiannya.
vi. Lembaga boleh menghendaki pemegang lesen yagn memohon untuk pembaharuan lesen menghadiri kursus yang diaturkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa pemegang lesen itu terus memenuhi kehendak teknologi yang berubah dan mempunyai
tahap kekompetenan dan kebolehan yang berterusan dalam penggunaan racun makhluk perosak secara selamat dan betul.
vii. Lembaga boleh, sebagai tambahan kepada syarat-syarat di atas, mengenakan apa-apa syarat yang lain yang difikirkannya perlu.

8. Lesen Pembantu Pemakai Racun Makhluk Perosak

(1) Seseorang yang menjalankan –

(a) tugas kawalan makhluk perosak yang utama di bawah penyeliaan sendiri; atau
(b) tugas kawalan makhluk perosak yang kecil di bawah penyeliaan, seorang pemakai racun makhluk perosak berlesen, hendaklah mempunyai suatu lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak yang dikeluarkan oleh Lembaga.

(2) Sesuatu permohonan untuk suatu lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak hendaklah dibuat secara bertulis kepada Lembaga dalam Borang F dan disertakan dengan fi permohonan yang ditetapkan.
(3) Lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak hendaklah seperti dalam Borang G .
(4) Jika Lembaga enggan mengeluarkan suatu lesen pembantu pemakai racun makhluk perosak kepada pemohon, Lembaga hendaklah memberitahu pemohon secara bertulis mengenai seba-sebab bagi keengganan itu.
(5) Syarat-Syarat Lesen Pembantu Pemakai Racun Makhluk Perosak
i. Lesen ini diberikan kepada pemegang lesen untuk menjalankan kawalan makhluk perosak rumah secara am, kawalan anai-anai dan oraganisma perosak kayu yang lain, kawalan rumpai awam secara am dan kawalan makhluk perosak yang menjejaskan kesihatan awam.
ii. Melainkan jika dibatalkan atau digantung terlebih dahulu, lesen ini adalah sah selama tempoh dua tahun dari tarikh lesen dikeluarkan.
iii. Lesen ini tidak boleh dipindahkan miliknya.
iv. Lesen ini hendaklah dipakai oleh pemegang lesen apabila dia menjalankan pengendalian kawalan makhluk perosak.
v. Jika lesen ini hilang, pemegang lesen hendaklah melaporkan perkara itu kepada Lembaga dan memohon untuk penggantiannya.
vi. Lembaga boleh menghendaki pemegang lesen yang memohon untuk pembaharuan lesen menghadiri kursus yang diaturkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa pemegang lesen itu terus memenuhi kehendak teknologi yang berubah dan mempunyai
tahap kekompetenan dan kebolehan yang berterusan dalam penggunaan racun makhluk perosak secara selamat dan betul.
vii. Lembaga boleh, sebagai tambahan kepada syarat-syarat di atas, mengenakan apa-apa syarat yang lain yang difikirkannya perlu)
(bersambung..)

Sunday, May 31, 2009

PEMBAJAAN SAWIT SECARA 'SUB-SOIL'


Tujuan

Tujuan pembajan adalah untuk membekalkan pokok sawit dengan sumber makanan tambahan untuk tumbesaran vegetatif yang sempurna.

Kekerapan dan masa membaja

  • Pemesanan baja dibuat 6 bulan sebelun aktiviti membaja dijalankan.
  • Tempoh membaja adalah antara bulan Mac hingga bulan September dan perlu diselesaikan dalam tempoh 4 bulan.
  • Waktu pembajaan yang sesuai adalah sebelum musim hujan dan selepas musim hujan.


Peralatan yang diperlukan

  • Kereta sorong
  • Alat pengorek
  • Sarung tangan
  • Kayu pemadat dan pengukur
  • Alat penyukat khas
  • Baja


Kaedah membaja

Cara pembajaan adalah seperti berikut:

  • Ukuran kedalaman, kelebaran lubang adalah 20cm lebar x 30cm dalam x 20cm panjang.
  • Gali lubang pada jarak +-8 kaki dari pangkal pokok.
  • 4 lubang digali pada setiap pokok sebagaimana dibawah:

*Untuk tahun seterusnya ikut turutan lubang asal (kawasan rata dan kawasan berbukit)

  • Pekerja hendaklah menggali semula lubang yang cetak.
  • Baja dimasukkan kedalam lubang dengan menggunakan penyukat yang berukuran tepat.
  • Setelah baja dimasukkan, tutup separuh lubang dengan tanah, padatkan denagn pemadat dan tutup lagi separuh tanah sekeliling.

Penanaman baja

  • Kadar baja bergantung jadual dan syor baja yang telah ditetapkan.
  • Gunakan peralatan yang sesuai untuk menjalankan kerja penanaman baja seperti kereta sorong, baldi dan alat penyukat khas. (alat penyukat khas bertujuan untuk memastikan jumlah baja yang ditanam seragam pada setiap lubang.)
  • Benang jahitan pada beg baja mestilah dibuka dengan cermat. Pemotongan beg baja adalah dilarang sama sekali.
  • Cara penanaman mestilah betul iaitu setiap lubang mesti mempunyai jumlah berat baja sama rata.
  • Lubang yang telah ditabur baja hendaklah dimampatkan dan diratakan separas permukaan tanah.
  • Baja yang keras dan berketul hendaklah diketuk dahulu sehingga hancur sebelum digunakan.

Keselamatan

  • Elakkan laluan air dan air bawah tanah dari tercemar denagn baja.
  • Amalkan penggunaan baja dengan cara yang cermat dan pada kadar yang tepat.
  • Jangan buang beg baja diladang. Simpan atau kitar semula beg baja untuk kegunaan lain seperti mengutip biji lerai.
  • Basuh tangan selepas membaja denagn air bersih.
  • Sentiasa mengikut syor baja yang telah ditetapkan.
  • Baja boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit dan mata. Pastikan pengendalian bahan yang sensitive dengan sentuhan menggunakan sarung tangan getah yang berkualiti.
  • Beg baja adalah seberat 50 kilogram. Mengangkat beg baja mestilah berhati-hati.


Saturday, May 30, 2009

TANAM SEMULA KELAPA SAIWIT

Pembangunan ladang tanam semula terbahagi kepada 4 iaitu:

  • Tanam semula kawasan baru (hutan)
  • Tanam semula getah ke kelapa sawit.
  • Tanam semula kelapa sawit ke kelapa sawit.
  • Tanam semula getah ke getah.

Tujuan

Menggantikan tanaman tua/tidak ekonomi dengan tanaman baru (kelapa sawit)dengan penyediaan ladang yang lebih baik dan teratur bagi menjamin kelancaran operasi dimasa hadapan.

Penentuan kawasan untuk ditanam semula

Penentuan kawasan untuk ditanam semula adalah berpandukan hasil sehektar getah dan keperluan semasa. Hasil yang kurang daripada 700kg/ha adalah disarankan untuk ditanam semula.

Perancangan untuk tanam semula

Perancangan kerja tanam semula adalah seperti berikut:

  1. Penebangan
  2. Melonggok
  3. Membuat jalan pertanian
  4. Membuat teres
  5. Menanam kekacang penutup bumi
  6. Membuat parit
  7. Membuat pagar elektrik atau zink
  8. Membaris
  9. Membuat lubang dan menanam
  10. Merumput
  11. Membaja
  12. Mengkasi

Penebangan

Kawasan yang ingin ditanam semula ditanda dengan cat yang terang untuk mengelakkan penebangan diluar kawasan.

Sempadan blok seelok-eloknya dibuat berpandukan sungai dan jalan.
Kesemua kayu getah hendaklah ditumbangkan keakar umbi dengan jentera yang sesuai.
Menebang tidak dibenarkan sam sekali lebih-lebih lagi dikawasan berbukit untuk mengelakkan masalah bila pembinaan jalan dan teres dilakukan.

Melonggok

Kerja-kerja melonggok boleh dilakukan sebaik sahaj kerja-kerja pengeluran kayu dibuat.

Terbahagi kepada 2 cara iaitu:
1. Kaedah ‘0’ burning.
2. Kaedah longgok dan bakar.

Kaedah ‘0’Burning

Bagi kawasan rata, membaris dan jalan utama mestilah dilakukan terlebih dahulu.
Melonggok dibuat antara baris-baris utama dan jalan-jalan utama.
Kontraktor juga haruslah mengetahui kedudukan parit-parit yang akan dibuat untuk mengelakkan terjadinya kerja dua kali (double work).

Kerja-kerja melonggok diluluskan setelah pihak pengurusan berpuas hatidengan kerja-kerja yang dilakukan.
Bagi kawasan berbukit longgokan hendaklah dibuat didada teres.

Kaedah longgok dan bakar

Sisa kayu dilonggokkan ditempat yang sesuai dengan ketebalan yang sesuai dan dibiarkan betul-betul kering sehingga sesuai untuk dibakar dimusim kemarau.
Longgokan juga sesuai dibuat ditunggul-tunggul balak lama juga dipangkal pokok buluh jika ada disesuatu kawasan. Ini bertujuan untuk menghilangkan tunggul dan pokok buluh tersebut.
Pembakaran dibuat disebelah petang supaya pagi keesokan harinya pembakaran telah sempurn.

Membuat jalan pertanian

Jalan pertanian adalah sesuatu yang mustahak dalam pembangunan tanam semula Jalan pertanian yang elok dan bersistematik dapat meningkatkan lagi pengurusan ladang dengan lebih cekap dan berkesan.

Kawasan rata

Sebelum membuat jalan, kerja-kerja berikut mestilah dilaksanakan terlebih dahulu:

1. Kerja-kerja membaris utam siap dijalankan.
2. Kerja-kerja menanda baris untuk perparitan siap dijalankan.
3. Semua sisa-sisa penebangan sudah habis dibakar.

Jalan hendaklah dibuat selang 20 pokok.
Bentuk jalan mestilah cembung ditengah (5°)
Bina jalan selurus mungkin untuk mengelakkan kehilangan bilangan pokok dan memudahkan penyelenggaraan jalan tersebut.
Lebar jalan utama 18 kaki dan jalan memungut hasil (platform buah) 14 kaki.

Kawasan berbukit

Jalan mestilah dibuat terlebih dahulu sebelum kerja-kerja membina teres dilaksanakan.
Jalan yang dibuat mestilah memotong semua teres.
Kecerunan jalan tidak melebihi 25º dan mengikut kesesuaian dan bentuk bukit dengan lebar tidak kurang daripada 18 kaki bagi jalan utama dan 14 kaki bagi jalan memungut hasil (platform buah).

Jalan utama dibuat dibawah bukit dan mestilah bersambung antara bukit ke bukit dan jalan memungut hasil mestilah bertemu dengan jalan ini.
Jalan yang dibuat mestilah ‘slope’ antara 5 - 10º ke arah teres.
Jalan sepanjang sempadan jika sesuai hendaklah dibuat.

Membuat teres.

Membuat teres dimulakan setelah kerja-kerja membuat jalan utama dan jalan memungut hasil siap dilakukan.

Lebar teres mestilah tidak kurang daripada 14 kaki dan mempunyai ‘slope’ tidak kurang daripada 10 darjah daripada belakang teres.

Teres yang dibuat mestilah bersambung dengan jalan dikedua dua arah.

Panjang teres seboleh-bolehnya tidkmelebihi 20 pokok kelapa sawit dan mesti dibuat batas dengan tinggi 2 kaki dan lebar 3 kaki setiap rantai untuk menahan air daripada mengalir keluar dari teres.

Jarak antara teres mestilah tidk kurang daripada 25 kaki dan tidak lebih daripada 35 kaki tetapi bergantung kepada kecerunan sesuatu bukit.

Menanam kekacang penutup bumi

Bagi kawasan rata, kekacang ditabur ditempat pembakaran dan diatas tanah baru bila parit dibuat. Jenis- jenis kekacang yang biasa digunakan ialah;
1. Pueraria javanica
2. Calopogonium cearulium
3. Macuna broctata

Di kawasan berbukit, kekacang mestilah ditabur sebaik sahaja teres selesai dibuat dan ditabur dibibir teres.
Masa menabur adalah sangat penting untuk meningkatkan kadar pertumbuhan kekacang tersebut.
Tabur kekacang semasa bibir teres masih gembur iaitu belum lagi ditimpa hujan.
Pembajaan perlu dibuat apabila kekacang telah tumbuh, biasanya selepas 1 bulan.
Baja ‘Compoud’ atau ‘Mixture’ 14:13:9:2.5 dengan kadar 25kg /ha ditabur dan baja CIRP sebanyak 50kg/ha bila kekacang mula memenuhi kawasan tanaman.

Membuat parit

Perparitan penting bagi kawasan yang sentiasa digenangi air bagi menjamin pertumbuhan pokok yang elok.


Parit terbahagi kepada 3 iaitu:

1. Parit besar (A) : 8’ x 6’ x 4’
2. Parit utama (B) : 6’ x 4’ x 4’
3. Parit kecil (C) : 4’ x 3’ x 2’

Parit besar (A)

Biasanya digunakan untuk mengubah struktur sungai dan menyambungkan antara 2 anak sungai supaya kelajuan air yang mengalir dapat dikurangkan.
Boleh juga digunakan untuk mengawal musuh tanaman seperti gajah dan babi hutan.

Parit utama (B)

Parit ini dibut untuk mengalirkan air dari parit kecil ke parit besar.
Dibuat jika sesutu kawasan sentiasa digenangi air.

Parit kecil (C)

Biasa dibuat mengikut alur bukit bagi melicinkan pengaliran air ke sungai.
Bagi kawasan berpay ia dibuat untuk mengeringkan sesuatu kawasan dan disambung ke parit utama.

Membina pagar elektrik atau zink

Dibuat sebelum kerja-kerja menanam dijalankan.
Ia amat penting bagi mengelakkan serangan musuh terutamanya babi hutan.
Kedua-dua kaedah adalah amat berkesan dan pilihan dinuat bergantung kepada kesesuaian kawasan.

Membaris

Kerja-kerja membaris boleh dibuat sebaik sahaja kerja-kerja melonggok siap dibuat.
Jarak tanaman bergantung kepada kehendak pengurusan.
Jarak tanaman 29 kaki x 29kaki x 29kaki atau 30kaki x 30 kaki x 30 kaki boleh digunakan dikawasan rata dengan kepadatan pokok 148 pokok/ha.
Bentuk barisan pokok ialah segi tiga dengan setiap sudut 60 darjah.
Arah utama ialah 0 darjah ke utara.
Bagi kawasan berbukit, formula dibawah boleh digunakan:


Purata jarak tanaman menjadi 29 kaki dan kepadatan menjadi 148 pokok/ha.
Dipuncak bukit, jarak tanaman tidak boleh kurang daripada 25 kaki dan begitu juga di lain-lain kawasan.

Melubang dan menanam

Umur pokok yang sesuai untuk ditanam ialah 12 bulan di nuseri.
Pengendalian anak sawit di nursery amatlah dititikberatkan agar tiada yang terencat apabila ditanam.

Masa yang sesuai untuk menanm adalah pada permulaan musim hujan kerana semua jalan boleh dilalui.

Elakkan menanam dimusim tengkujuh kerana banyak jalan tidak boleh dilaui dan air banyak bertakung diatas teres.
Saiz lubang mestilah bersesuaian dengan saiz polibeg iaitu tidak terlalu dalam dan tidak terlalu cetek.

Semasa menanam, baja CIRP diletekkan didalam lubang sebanyak 500 gram dan 100 gram baja campuran 15:15:6:4.

Pastikan semua polibeg dibuang dan dipadatkan dengan cermat seboleh-bolehnya dengan tanah ‘Top soil’.

Semua rekod bilangan pokok mestilah dicatitkan untuk mengetahui bilangan sebenar pokok disamping memudahkan pembayaran dibuat.


Pengurusan rumpai dikawasan tanam semula

Meracun ‘blanket’ 4 pusingan dijalankan selang 45 hari.
Selepas 4 pusingan ‘blanket’, meracun bulatan juga dilakukan selang 45 hari dengan menggunakan racun ‘Basta 15’ai : Glusofinate ammonium 13.5% (120ml/16 liter air).
Meracun bulatan dilakukan dengan berhati-hati agar tidak terkena daun bawah kerana racun ini boleh menyebabkan daun mati.

Meracun selektif selang 45 hari dibuat berasingan daripada meracun bulatan untuk mengelakkan pekerja menggunakan racun yang sama untuk meracun bulatan.
Selepas 12 bulan,selang 60 hari untuk meracun bulatan dan selektif.
Selepas 24 bulan,meracun bulatan 4 pusingan dan selektif 3 pusingan dibuat.
Biasanya 30 bulan sudah sesuai untuk menuai, tetspi bergantung kepada kesuburan pokok.


Membaja

Pembajaan kawasan belum matang mengikut jadual dibawah:





Program selepas ini berdasarkan cadangan ahli agronomi.

Mengkasi

Sebelum kerja-kerja menuai dibuat, kerja-kerja mengkasi perlu dibuat dengan membuang semua bunga betina mengikut jadual dibawah sebanyak 4 pusingan:



Kerja-kerja pembangunan tanam semula mestilah diberi perhatian yang serius kerana banyak masalah-masalah dan cabaran-cabaran yang perlu ditangani dengan berkesan untuk menjamin hasil yang maksima bila matang nanti.

Dalam masa kerja-kerja penjagaan dibuat, pokok yang terencat abnormal, point-point kosong mestilah disulam dengan segera agar pokok boleh membesar dengan seragam dan memberikan hasil yang maksima.

RUMPAI - KEBAIKAN, KEBURUKAN & PENGAWALAN

Noormaizurah Omar


PENGENALAN

Rumpai ialah spesies tumbuhan renik, rendah atau tinggi, baik yang tumbuh menegak, melata mahupun yang menjalar bebas dan muncul di tempat-tempat yang tidak dimaksudkan untuknya. Boleh dikatakan rumpai bukanlah tanaman yang sengaja ditanam tetapi muncul secara sendiri atau dibawa oleh pelbagai vektor (pembawa) tanpa disedari. Takrif rumpai yang jelas telah diberikan oleh Profesor Beal, pakar dalam bidang biologi rumpai di Michigan State College sebagai " a plant out of place ".

Pada amnya, rumpai boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama ialah rumpai perosak, kedua ialah rumpai yang mempunyai kegunaan ekonomi, dan yang ketiga ialah rumpai yang bersifat neutral. Walau bagaimanapun, kualiti sifat-sifat rumpai ini sama ada sebagai perosak, berguna atau bersifat neutral berubah-ubah mengikut keadaan tertentu.

Disini akan dijelaskan serba sedikit kebergunaan atau kebaikan rumpai, masalah atau keburukan yang disebabkan rumpai, dan cara pengawalannya.

KEBERGUNAAN DAN KEBAIKAN RUMPAI

Terdapat beberapa kesukaran dalam memberi takrif kepada rumpai. Kesukaran ini mempunyai kaitan dengan cara penilaian dan pandangan yang dibuat terhadap rumpai. Tumbuhan ini mugkin dianggap tumbuhan yang merosakkan dan mungkin disesetengah kawasan ia merupakan sejenis tumbuhan yang berguna kepada manusia. Ini kerana, walaupun rumpai sering membawa masalah ia tetap memberi beberapa kabaikan kepada manusia.
Kebergunaan rumpai boleh dilihat apabila ia penting bagi mengurangkan hakisan. Ini boleh dilihat apabila rumpai ini digalakkan atau dibiarkan tumbuh dengan bebas di kawasan-kawasan yang terdedah atau diancam hakisan. Ia juga kerapkali dibiar tumbuh untuk membaik pulihkan kawasan yang telah diteroka. Ini seperti Acroceras munronum (rumput rintik rapat) yang dibiarkan tumbuh dilereng-lereng bukit sepanjang lebuh raya.

Selain kebaikan rumpai sebagai tumbuhan yang digunakan bagi mengelak hakisan ia juga telah dijadikan makanan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, kuda, dan babi. Rumpai yang digunakan ialah seperti Paspalum dilatatum, rumput yang penting untuk ternakan yang terdapat di kawasan pantai Australia. Rumpai laut seperti Luminaria dan Fucus juga dijadikan makanan haiwan ternakan. Malah di Ireland dan Scotland terdapat industri pemprosesan rumpai untuk tujuan ini.

Selain itu terdapat juga rumpai yang boleh dijadikan sebagai makanan untuk manusia. Ini boleh dilihat apabila manusia menyedari bahawa beberapa rumpai laut terutama alga merah dan alga perang boleh dijadikan sebahagian daripada diet. Namun cara memakannya berbeza-beza bergantung kepada kebudayaan masing-masing.
Rumpai laut ini boleh dimakan mentah, dimasak atau dikeringkan. Tumbuhan ini merupakan sumber yang baik bagi beberapa vitamin dan mineral selain mempunyai kandungan protein yang tinggi. Ini seperti rumpai Gracilaria coronopifolio (alga merah) dan Entermorha prolifera (alga hijau).

KEBURUKAN AKIBAT RUMPAI

Rumpai melalui takrifnya sendiri cukup mengambarkan yang ia suatu tumbuhan yang banyak memberi masalah, kerugian atau memberi kesan buruk kepada manusia dan juga haiwan. Kesan-kesan buruk ini mungkin dapat dilihat secara langsung atau tidak langsung. Walau bagaimanapun, akan diterangkan secara umum keburukan akibat rumpai ini. Perbincangan tidak akan hanya berkisar kepada kerugian yang dialami dalam sektor pertanian sahaja tetapi akan dibincangkan juga keburukannya kepada aspek-aspek lain. Kerugian yang ditimbulkan oleh rumpai sukar dinilaikan terutama kerugian yang wujud secara tidak langsung.

Keburukan akibat rumpai adalah seperti kesan buruk rumpai keatas bidang pertanian, kesan rumpai kepada manusia dan haiwan, kesan rumpai keatas pengaliran air sungai dan kolam, dan lain-lain kesan lagi.

KESAN RUMPAI KEPADA SEKTOR PERTANIAN

Rumpai menimbulkan kesan yang sangat jelas ke atas pengeluaran hasil pertanian. Ini kerana rumpai biasanya lebih agresif dan dapat menyesuaikan pertumbuhannya walaupun dalam keadaan yang kurang baik. Sifat begini biasanya dipunyai oleh kebanyakan spesies rumpai yang hidup di dalam kawasan pertanian. Selain daripada sifat yang dinyatakan itu, rumpai juga mempunyai beberapa sifat lain yang agak istimewa berbanding dengan tanaman. Kesemua sifat ini akan menolong rumpai untuk bersaing dengan tanaman. Rumpai lebih berjaya dalam persaingan terhadap nutrien, air, karbon dioksida, dan cahaya jika dibandingkan dengan tanaman. Ini menyebabkan kemerosotan hasil dalam kebanyakan kawasan pertanian. Dalam tanaman tertentu, rumpai menyebabkan peratus kemerosotan yang sangat tinggi. Ini seperti rumpai Echinochloa crus-galli yang tumbuh dalam sawah dan bersaing dengan pokok-pokok padi dan akan mengakibatkan pengeluaran padi merosot.

Rumpai selain daripada mengurangkan hasil ia juga akan menjejaskan kualiti tanaman disamping meningkatkan kos pengeluaran. Ini kerana biji atau serpihan daripada rumpai sering bercampur dengan hasil tuaian. Ini sering berlaku semasa menuai tanaman bijirin dengan menggunakan alat jentera. Bijirin yang tercemar dengan biji-biji rumpai mempunyai harga pasaran yang rendah. Contohnya, padi yang bercampur dengan biji-biji
rumpai akan dikelaskan dengan gred yang rendah. Malah bahagian-bahagian tanaman yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan menyebabkan kerosakan semasa penyimpanan. Serpihan rumpai biasanya lembap dan semasa pereputan haba akan terbebas dan kulat pada serpihan rumpai boleh menjangkiti tanaman dan merosakkannya. Semua ini akan menjejaskan kualiti tanaman.

Rumpai turut meningkatkan kos pengeluaran kerana penggunaan buruh dan racun rumpai bagi mengawal pertumbuhannya. Merumput rumpai perlu dilakukan terutama dalam peringkat tertentu dalam masa pertumbuhan tanaman. Misalnya, dalam tanaman kacang tanah,rumpai perlu sentiasa dijaga rapi dalam tempoh 4 minggu pertama. Jika ia tidak dijaga rapi dalam tempoh ini, maka pertumbuhan pokok akan terencat. Ini akan merugikan petani.

KESAN RUMPAI KE ATAS MANUSIA DAN HAIWAN

Tikus merupakan pembawa penyakit sampar dan gemar hidup di kawasan belukar. Kuman penyakit ini iaitu sejenis bakteria Yarsinia pestis, berjangkit daripada seekor tikius kepad seekor tikus yang lain oleh sejenis kutu Xenopsylla cheopsis. Apabila tikus ini mati, kutu tikus pembawa ini boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit tersebut. Biasanya rumpai yang hidup berhampiran air, misalnya Eichhornia crassipes menjadi tempat yang sesuai kepada tikus pembawa kuman tersebut. Terdapat banyak lagi contoh yang menunjukkan rumpai boleh menjadi habitat kepada vektor. Misalnya lalat Stomoxys dan Tabanus hidup di kawasan belukar dan membawa Trypanosoma evansi yang boleh menyebabkan penyakit surra pada lembu.

Terdapat juga rumpai yang mengandungi sebatian kimia yang boleh menyebabkan keracunan kepada manusia dan haiwan ternakan yang memakannya. Ada spesies rumpai yang mengandungi aras oksalat larut yang tinggi seperti Halogeton glomeratus dan terdapat juga rumpai yang mengandungi asid hidrosianik seperti Prunus. Selain bahan-bahan tersebut terdapat beberapa lagi bahan beracun yang boleh didapati pada rumpai. Bahan-bahan beracun ini boleh didapati terkumpul di bahagian biji, beri, umbisi atau daun. Di Afrika Selatan, biji-biji Senecio sp. yang bercampur dengan gandum telah menyebabkan keracunan kepada manusia.
Daripada beberapa contoh di atas jelas menunjuk adanya hubungan rumpai dengan kesihatan dan keracunan terhadap manusia dan haiwan ternakan.

KESAN RUMPAI KE ATAS PENGALIRAN AIR SUNGAI DAN KOLAM

Rumpai akuatik tidak kurang juga menimbulkan masalah dalam sistem perparitan di negara ini. Rumpai-rumpai seperti Lemna, Pistia, dan Eichhornia crassipes, menimbulkan pelbagai masalah yang perlu dikawal setiap masa kerana ia hidup dalam parit dan kolam-kolam boleh menyekat pengaliran air. Perahu tidak dapat bergerak dalam sungai-sungai yang dipenuhi dengan rumpai akuatik. Keadaan ini akan mengganggu laluan di sungai yang merupakan sistem perhubungan yang penting disesetengah kawasan.

Ikan juga sukar untuk hidup di kolam-kolam yang ditumbuhi dengan rumpai seperti Lemna, Pistia, dan Salvinia di permukaan airnya. Disebabkan kandungan oksigen di dalam air ini sangat rendah serta kekurangan cahaya menyebabkan ikan tidak sesuai untuk hidup.

KESAN-KESAN RUMPAI YANG LAIN
Rumpai juga memberi kesan keatas penjagaan kawasan rekreasi, taman dan padang permainan. Kewujudan rumpai di kawasan tersebut akan mencacatkan pemandangan dan menyukarkan pergerakan. Ia juga akan mencacatkan kecantikan sesuatu kawasan tersebut.

Selain itu rumpai turut memberi kesan keatas kualiti ternakan. Ini boleh dilihat apabila haiwan ternakan seperti lembu tenusu telah menghasilkan susu yang rendah kualitinya. Ini kerana rumpai seperti rumpai dari genus Allium spp. yang terdapat di padang-padang ragut.

PENGAWALAN RUMPAI
Rumpai boleh menyebabkan kerugian yang besar dalam penghasilan tanaman, dan keindahan alam sekitar. Oleh yang demikian rumpai perlulah dikawal pertumbuhannya. Terdapat pelbagai kaedah pengawalan rumpai yang boleh digunakan. Antaranya, kawalan secara mekanik, kawalan secara biologi, kawalan secara pencegahan melalui amalan yang baik dan kawalan secara menggunakan racun rumpai.

KAWALAN SECARA MEKANIK

Kawalan secara mekanik ialah termasuk kawalan dengan tangan seperti mencabut, mencangkul, menebas keluar rumput daripada tanah. Kerja-kerja tersebut boleh dilakukan sendiri oleh petani dengan menggunakan alat-alat seperti parang, cangkul, sabit tajak, tenggala,dan mesin yang dilengkapi dengan alat-alat pemotong. pembajak dan penggembur yang memudahkan lagi kerja-kerja pengawalan di samping menjimatkan masa, kos, dan tenaga manusia.

KAWALAN SECARA BIOLOGI

Kaedah pengawalan ini melibatkan penggunaan haiwan seperti kulat, parasit, bakteria danpelbagai organisma lagi. Kaedah ini juga melibatkan penggunaan binatang ternakan seperti lembu, kambing,biri-biri dan kerbau. Kaedah ini sesuai terutama di kawasan padat dengan rumpai.

PENCEGAHAN MELALUI AMALAN YANG BAIK

Penbiakan rumpai dapat dikurangkan jika beberapa langkah pengawalan telah dilakukan diperingkat awal-awal lagi. Ini seperti menggunakan biji benih yang bermutu tinggi dan bersih daripada biji benih rumpai. Menggunakan alat-alat pembajak, yang bersih dan dicuci selepas menggunakannya. Selain itu memastikan biji-biji rumpai yang telah di potong tidak dibuang dimerata-rata tempat sehingga boleh bercampur semula dengan biji benih tanaman. Sekiranya petani mengamalkan cara amalan ini , berkemungkinan tanaman mereka menghasilkan hasil yang baik boleh ditingkatkan.

KAWALAN DENGAN MENGGUNAKAN RACUN RUMPAI

Penggunaan racun rumpai dalam mengawal pertumbuhan adalah suatu kaedah yang sering digunakan dalam bidang pertanian pada masa ini. Penggunaan racun rumpai dapat menjimatkan kos dan masa. Racun rumpai yang baik dan sesuai untuk menghalang pembiakkan rumpai dapat memusnahkan rumpai di kawasan pertanian.

Racun rumpai yang digunakan boleh berbentuk organik dan bukan organik. Contoh-contohnya seperti Natrium arsenit (racun bukan organik) dan racun klorofenoksi (racun organik).

KESIMPULAN

Rumpai walaupun melalui takrifnya membawa makna kepada yang lebih buruk daripada memberi kesan baik atau kebergunaan, ia tetap penting kepada ekosistem bumi kita. Rumpai boleh di kawal dan pengawalan yang betul dapat menjimatkan kos, masa , dan tenaga. Rumpai juga menjadi sumber makanan kepada manusia dan haiwan ternakan.

BIBLIOGRAFI
Ismail Sahid 1989. Sains Rumpai. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Azly b. Mohd.Yusof 1988. Rumpai: Panduan Berilustrasi. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Ismail 1995. Rumpai Laut Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka.